Khairuddin Abu Hassan
Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan

KUALA LUMPUR – Muka Tun Dr. Mahathir Mohamad gembira selepas bertemu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim buat kali keduanya semalam.

Itu dakwa orang kuat Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

“Selepas perjumpaan tersebut (Tun M dan Anwar) saya dapat lihat rias air muka gembira Tun M. Ini merupakan satu petanda baik buat Pakatan Harapan,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Bekas naib ketua bahagian UMNO itu mengiringi Mahathir dalam pertemuan kedua mereka di mahkamah semalam.

Bagaimanapun, dalam pertemuan selama 45 minit itu, Khairuddin mengaku tidak mengetahui apa perbincangan mereka secara terperinci.

Apa pun, katanya, pertemuan itu menunjukkan kedua-dua bekas pemimpin negara itu berjiwa besar dan bukan wayang seperti dakwaan pemimpin BN.

“Kedua-dua tokoh negarawan ini boleh dan mampu mengubah senario lanskap politik tanahair. Gandingan tenaga secara ikhlas di antara kedua tokoh ini bakal menyaksikan perubahan baru pada sistem politik tanahair kita,” katanya lagi.

Menurut Khairuddin, Tun M dan Anwar yang sanggup mengenepikan perbezaan pendapat dan ‘perbalahan’ lama bakal menjadikan hasrat pembangkang untuk menyelamatkan Malaysia terlaksana.

“Sehingga hari ini saya masih menerima ribuan respon dari rakyat jelata yang begitu gembira dengan pertemuan kedua di antara kedua tokoh negarawan tersebut semalam,” dakwanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast