AHMAD ZAHID HAMIDI

LUNDU – Tindakan tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan seorang anggota Parlimen DAP Melaka keluar daripada parti itu merupakan satu manifestasi masalah dalaman dan krisis kepercayaan yang sedang dihadapi parti pembangkang itu, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya dimaklumkan tiga ADUN dan seorang Ahli Parlimen dari Melaka itu telah keluar parti,” kata timbalan perdana menteri.

Beliau percaya ini kerana kepimpinan DAP yang bersekongkol dengan tokoh yang pernah menghentam parti itu satu ketika dahulu, kini mendapat tentangan dari dalaman.

Oleh itu, menurutnya, rakyat secara keseluruhannya perlu membuat analisis sendiri mengenai kebolehpercayaan mereka terhadap wakil-wakil rakyat daripada DAP susulan perkembangan terbaru itu.

“Kita tahu bahawa persekongkolan ini menerusi “perkahwinan mutaah politik’, atau ‘perkahwinan sementara politik’… rakyat harus faham mengenainya,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Pemimpin bersama RELA di Dewan Masyarakat Lundu, kira-kira 80km dari bandaraya Kuching, di sini, hari ini.

“Kita harap rakyat dapat menilai sendiri tentang apa yang sedang berlaku di kalangan mereka (DAP), dan bagaimana prestasi mereka sebagai wakil rakyat yang hanya pandai berkokok (tapi) tidak dapat berikan perkhidmatan yang berkesan,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya pada majlis itu yang turut dihadiri Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, Ahmad Zahid mengucapkan terima kasih kepada keputusan kerajaan negeri Sarawak untuk menambah bantuan RM16 juta kepada RELA, sebagaimana yang pernah disentuh oleh bekas Ketua Menteri Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.

“Mana nak cari Ketua Menteri (Abang Johari) yang macam ini. Semua dasar-dasar, janji-janji Ketua Menteri terdahulu, semuanya beliau tekad untuk laksanakan, semuanya untuk pembangunan dan kesejahteraan Sarawak,” katanya.

Beliau menyeru supaya semua anggota RELA berjumlah 345,000 di Sarawak menyokong penuh kepimpinan Abang Johari yang dilihat serius dengan hasrat meneruskan kesinambungan kecemerlangan kepimpinan Allahyarham Adenan, dengan niat semata-mata untuk membangunkan Sarawak.

Beliau seterusnya mengingatkan pemilih supaya beramai-ramai keluar mengundi dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Tanjong Datu pada 18 Feb ini sebagai tanda sayang serta kagum dengan kepimpinan penyandangnya Allahyarham Adenan, dan juga tanda sokongan penuh kepada balu Allahyarham Datuk Amar Jamilah Anu yang dipilih Barisan Nasional untuk bertanding dalam PRK itu. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast