Noh Omar

SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali malu besar apabila mendakwa seorang menteri kanan akan meletakkan jawatan, sebaliknya yang berlaku empat wakil DAP keluar parti itu di Melaka.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Tan Sri Noh Omar berkata, Timbalan Presiden PKR itu telah silap percaturan apabila mendakwa ‘menteri kanan’ yang dikatakan memberitahu dia akan letak jawatan, sebenarnya pemimpin DAP.

“Dia bohong… dia sudah tersilap kerana berbohong. Menteri kanan yang dikatakan berjumpa dengannya bukan menteri kerajaan Persekutuan, tapi pemimpin-pemimpin DAP Melaka.

“Dia tahu kedudukannya tidak lagi kuat, maka dia terpaksa berbohong,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan UMNO Negeri di Bangunan UMNO Selangor, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin melalui tweet terbaharunya Jumaat lalu, mencetuskan tanda tanya di media sosial apabila memuatnaik status berbaur khabar angin berkenaan peletakan jawatan seorang menteri kanan.

Menurut beliau, menteri kanan itu akan meletakkan jawatan kerana didakwa enggan bersubahat dengan kontroversi yang melibatkan isu 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun, beberapa menteri termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tampil menafikan dakwaan Menteri Besar itu dan ada yang menyifatkan sebagai kenyataan nakal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast