Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Peserta Himpunan 355 (H355) di Padang Merbok Sabtu ini, dilarang membawa alat bunyian seperti vuvuzela, trompet dan wisel serta senjata merbahaya.

Pengarah Sekretariat H355, Nasrudin Hassan berkata, ini kerana pihaknya mahu menganjurkan perhimpunan yang berlangsung secara aman dan tata tertib.

Katanya, pihaknya juga menyediakan kira-kira 500 pemantau khas yang bertugas untuk mengawal serta merakamkan sebarang pergerakan mencurigakan pada perhimpunan itu.

“Kita mesti tanamkan dalam diri kita untuk hadir pada Sabtu ini dengan niat ikhlas dan bagi mencari keredaan Allah,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua bentuk nasihat dan peringatan kepada ahli serta penyokong Pas telah disampaikan di peringkat kawasan masing-masing.

“Kita percaya, tidak akan berlaku sebarang cetusan provokasi atau propaganda yang negatif dan bercanggah dengan akhlak Islam dalam kalangan ahli serta penyokong kita,” katanya.

H355 bermula kira-kira jam 2 petang hingga 11 malam di Padang Merbok dan dijangka hadir, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta barisan kepimpinan Pas Pusat.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Dewan Uamak Pas Pusat, Nazmi Nik Din berkata, pindaan Rang Undang-Undang (RUU) 355 adalah tanggungjawab bersama yang mesti diperjuangkan tanpa mengira perbezaan latar belakang dan fahaman politik.

Ujar beliau, inilah masanya setiap orang Islam menyatakan pendirian mengikut llunas demokrasi dan perundangan negara, bahawa umat Islam mempunyai hakuntuk menentukan perundangan yang harus mengadili mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast