Jamal Md. Yunus

SHAH ALAM – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunus terkejut dengan keputusan Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor untuk menolak peletakan jawatannya dalam parti.

Katanya, beliau menghormati keputusan itu dan mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Tan Sri Noh Omar.

“Saya akan terus memikul tanggungjawab dan amanah sebagai pemimpin politik dan berjanji akan buat yang terbaik dalam membongkarkan salahlaku kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Selangor,” katanya ringkas di sini, malam ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan UMNO Negeri yang sebulat suara menolak hasratnya hendak meletak jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sungai Besar.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Negeri yang dipengerusikan Noh petang tadi. – MalaysiaGazette