Lapan anggota polis yang mengalami kecederaan parah dalam kejadian letupan bot di Jeti Marin Kampung Acheh, di Manjung, semalam.

LUMUT – Seorang isteri hampir pengsan selepas menerima berita mengenai suaminya antara lapan anggota polis yang mengalami kecederaan parah dalam kejadian letupan bot di Jeti Marin Kampung Acheh, di Manjung, semalam.

Idawati Awang, 35, isteri kepada anggota Komando 69, Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Ipoh itu berkata beliau menerima panggilan kira-kira 10.15 pagi daripada isteri rakan suaminya sebelum bergegas ke Hospital Seri Manjung (HSM).

“Saya sedang mengajar ketika mendapat berita itu. Saya rasa lutut saya longgar dan hampir pengsan apabila rakan menelefon dan memberitahu keadaan suami saya sebelum menyuruh saya banyak bersabar.

“Saya kemudian cuba menelefon suami saya namun gagal. Saya menjadi buntu dan bernasib baik pihak kolej sanggup menghantar saya ke HSM untuk melihat keadaan suami saya secepat mungkin,” katanya ketika ditemui pemberita di HSM di sini Selasa.

Idawati merupakan pensyarah di sebuah kolej di Ipoh berkata bagaimanapun dia bersyukur kerana suaminya selamat biarpun mengalami kecederaan parah di bahagian kaki kirinya dalam kejadian itu.

Menurut Idawati, suaminya yang telah berkhidmat dalam unit itu sejak tahun 2000 selalu memesan untuk sentiasa bersedia dalam menghadapi sebarang keadaan dan kemungkinan, kerana risiko tugasannya yang tinggi.

“Sejak berkahwin lagi saya telah diminta untuk bersedia kerana dia perlu berdepan dengan pelbagai situasi berbahaya termasuk pernah terlibat dengan operasi semasa peristiwa di Lahad Datu pada tahun 2013,” katanya.

Menceritakan semula saat cemas yang dialami suaminya itu, Idawati berkata suaminya bernasib baik kerana telah mengubah tempat dari tempat duduk belakang ke hadapan bot berkenaan.

“Suami saya ada beritahu, dia yang mulanya duduk di belakang berhampiran enjin, tiba-tiba hendak duduk di barisan hadapan dalam bot berkenaan.

“Sebaik sahaja dia melangkah dalam lima saat, enjin itu kemudiannya meletup secara tiba-tiba,” katanya yang mempunyai dua anak perempuan dan seorang anak lelaki.

Dalam kejadian 9.30 pagi semalam, bot berkenaan meletup selepas mengalami kerosakan teknikal di bahagian enjin, mengakibatkan kesemua lapan anggota polis yang duduk di kiri dan kanan bot tercampak keluar termasuk juga pengendali bot berkenaan.

Kesemua mereka merupakan anggota Komando 69 dari PGA Ulu Kinta, Ipoh yang sudah lima hari menjalani kursus bermula 10 Feb dan dijadual berakhir pada 24 Feb ini.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast