Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Kit Siang kini berada di Melaka hari ini bagi mendapatkan maklumat sebenar berhubung empat wakil rakyatnya keluar parti Ahad lalu.

Beliau dijangka berada di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Duyong, Bachang, Kesidang dan Parlimen Kota Melaka.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif DAP Pusat, Liew Chin Tong, veteran DAP itu akan bertemu dengan kepimpinan peringkat akar umbi bagi tiga DUN dan Parlimen berkenaan yang mana masing-masing pemimpin telah keluar parti.

“Kit Siang perlu turun ke sini kerana ahli dan penyokong DAP telah kehilangan pemimpin mereka dan keadaan setakat ini seperti biasa serta terkawal.

“DAP perlu pastikan tiga kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen ini kekal menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini,” katanya kepada media di sini hari ini.

Pada Ahad lalu, tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan seorang Ahli Parlimen dari DAP bertindak keluar parti itu kerana kecewa dengan kepimpinan parti.

Mereka ialah Sim Tong Him (Ahli Parlimen Kota Melaka), Goh Leong San (ADUN Duyong), Lim Jack Wong (ADUN Bachang) dan Chin Choong Seong (ADUN Kesidang).

Menurut Chin Tong, satu perjumpaan akan diadakan malam ini antara Kit Siang dengan ahli DAP Melaka. – MalaysiaGazette