Ahmad Fadhil Shaari

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Kawasan Pasir Mas dan Rantau Panjang pagi ini, membuat laporan polis ke atas Penasihat Parti Amanah Negara (PAN) Kelantan, Datuk Husam Musa.

Laporan yang dibuat Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan, Ahmad Fadhil Shaari di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas itu, meminta pihak berkuasa menyiasat dakwaan Husam kononnya, kepimpinan Pas Pusat menerima wang sejumlah RM90 juta.

“Hari ini kita datang ke IPD Pasir Mas untuk buat laporan polis ke atas Husam atas rakaman ceramah beliau pada 6 Februari lalu yang menyatakan dengan jelas Pas telah menerima RM90 juta melalui akaun Affin Bank yang dimasukkan melalui akaun pemimpin Pas.

“Kita minta polis buat siasatan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman kepada mana-mana individu yang membuat tuduhan fitnah seperti ini,” katanya.

Husam menerusi satu klip video ceramahnya yang ditular melalui media sosial mendakwa, Pas menerima wang RM90 juta daripada UMNO sebagaimana didedahkan Sarawak Report.

Beliau mendakwa, wang itu disalurkan melalui sebuah bank tempatan, Affin Bank.

Ahmad Fadhil turut mencabar Husam supaya membuktikan dengan jelas siapakah penama yang dimaksudkan menerima wang RM90 juta itu

“Kalau beliau anak jantan, sepatutnya menyatakan dengan jelas dan terang siapakah yang menerima wang sebanyak itu.

“Kalau berselindung di sebalik tuduhan rambang, ini adalah suatu tuduhan pengecut dan pondan semata-mata,” ujarnya.

Ahmad Fadhil turut meminta bekas Naib Presiden Pas itu membuktikan siapakah pemimpin parti berkenaan yang dikatakan menerima sejumlah wang tersebut. – MalaysiaGazette