Ketua Pemuda UMNO, YB Khairy Jamaluddin mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda UMNO Malaysia di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra. foto SAFWAN MANSOR, 15 FEBRUARI 2017

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO mengalu-alukan keputusan kerajaan menubuhkan task force untuk menjalankan siasatan awal berhubung kerugian urus niaga forex (mata wang asing) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar 1990-an.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Senator Khairul Azwan Harun menyifatkan ia satu langkah permulaan yang baik dibuat oleh kerajaan dalam merungkai kebenaran melibatkan urus niaga yang pernah menggemparkan negara suatu ketika dahulu itu.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Senator Khiarul Azwan Harun bercakap pada sidang media ringkas selepas mesyuarat Exco Pemuda UMNO Malaysia yang dipengerusikan oleh Ketua Pemuda UMNO Malaysia, YB Khairy Jamaluddin di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra. foto SAFWAN MANSOR, 15 FEBRUARI 2017
Naib Ketua Pemuda UMNO, Senator Khiarul Azwan Harun bercakap pada sidang media ringkas selepas mesyuarat Exco Pemuda UMNO Malaysia yang dipengerusikan oleh Ketua Pemuda UMNO Malaysia, YB Khairy Jamaluddin di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra. foto SAFWAN MANSOR, 15 FEBRUARI 2017

Khairul Azwan sebelum ini juga menyuarakan cadangan supaya satu siasatan suruhanjaya diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian berbilion dolar itu semasa era pentadbiran Tun Dr Mahahtir Mohamad.

“Kita mengalu-alukan keputusan dibuat Kabinet walaupun tempoh hari saya ajukan cadangan tubuhkan satu RCI, ini langkah pertama yang baik.

“Kalau ada keperluan tubuh RCI selepas itu, maka kalau itu yang terbaik kita alukan. Tidak perlu buat sebarang spekulasi sehingga siap siasatan dan inkuiri task force itu nanti,” kata Khairul Azwan yang ditemui selepas Mesyuarat Exco Pemuda UMNO pada malam ini di bangunan PWTC.

Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan penubuhan task force yang akan dianggotai pelbagai agensi kerajaan termasuk individu-individu yang dihormati dan berpengalaman dalam bidang-bidang tertentu.

“Penubuhan pasukan petugas khas ini merupakan langkah permulaan bagi mendapatkan semula fakta-fakta yang berkaitan – menganalisis semua Hansard rasmi mesyuarat-mesyuarat Parlimen pada masa itu, minit-minit Mesyuarat Kabinet yang terdahulu, laporan Ketua Audit Negara, Bank Negara Malaysia dan laporan-laporan lain daripada agensi-agensi yang berkenaan.

“Pasukan petugas khas ini akan mengemukakan syor dan cadangan untuk dipertimbangkan oleh Kabinet dalam tempoh terdekat dan tindakan selanjutnya termasuk penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) jika perlu berdasarkan hasil siasatan itu nanti,” katanya dalam satu kenyataan media.

Pendedahan kerugian forex dibuat oleh bekas Penolong Gabenor BNM, Datuk Abdul Murad Khalid yang mendakwa BNM mencatatkan kerugian sebanyak AS$10 bilion (RM44 bilion) melalui kegiatan perdagangan mata wang sepanjang 1991 hingga 1993, jauh lebih besar daripada jumlah yang dilaporkan bank pusat tersebut.

Abdul Murad berkata, Laporan Tahunan BNM pada 1994 hanya mencatatkan kerugian sebanyak RM9 bilion sahaja akibat kegiatan itu, sedangkan angka sebenar adalah jauh lebih besar.

Isu kerugian yang dialami BNM akibat kegiatan perdaga­ngan mata wang itu pernah menggemparkan negara pada 1994 namun tiada tindakan lanjut diambil terhadap pihak yang terlibat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast