KUALA LUMPUR – Walaupun dikecam dan dipertikai kerana khidmat Valet Doa yang dilihat cuba memanipulasi agama, pengasasnya, Hasrin Harin masih menyakinkan orang ramai untuk menggunakan khidmat yang disediakan syarikat beliau dengan memberi jaminan wang akan dikembalikan.
Hasrin berkata, sekiranya doa tidak termakbul dalam pakej yang ditawarkan, pihaknya akan mengembalikan wang pelanggan.
“Ya, ada jaminan (wang dikembalikan). Ada saya maklum dalam posting saya,” kata Hasrin ketika dihubungi melalui Whatapps bagi mendapatkan penjelasan sama ada wang akan dipulangkan atau tidak jika doa seseorang yang dibuatnya tidak dimakbulkan.
Perkhidmatan tersebut mendapat reaksi negatif daripada beberapa badan agama termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang meminta orang ramai berhenti menggunakan khidmat Valet Doa dan tidak terpedaya dengan perkara sedemikian.
Hasrin menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa beliau menggunakan agama bertujuan untuk mengaut keuntungan semata-mata dengan alasan smembantu mereka yang tidak berkesempatan untuk berdoa di kota suci umat Islam, Makkah.
“Untuk tolong orang yang dalam keadaan terdesak. Perlu berdoa sangat.
“Sebagai contoh, mungkin anak kemalangan dalam ICU, peluang 50-50. Jadi takkan mak bapa sempat pergi Mekah nak doa depan Kaabah? Jadi kami tolong. Banyak kes macam ini,” katanya.
Menurutnya, kos untuk mengerjakan Umrah yang terlalu mahal juga menyebabkan ada dalam kalangan masyarakat tidak mampu untuk ke Mekah dan khidmat Valet Doa yang ditawar sekurang-kurangnya dapat membantu mereka yang memerlukannya.
“Ramai orang yang tidak mampu pergi sendiri untuk Umrah sebab kos pun makin tahun makin mahal.
“Sekurang-kurangnya boleh lah doa juga di Makkah. Ambil keberkatan,” katanya.
Sejak Valet Doa menjadi tular di media sosial, ramai pengguna melahirkan rasa kesal selepas menyaksikan kewujudan akaun Facebook mempromosikan perkhidmatan kiriman doa untuk dibacakan di Mekah.
Malah ia mendapat kecaman netizen berikutan caj antara RM250 sehingga RM5,000 kepada orang ramai yang dianggap tinggi melalui pakej tertentu seperti VVIP serta pakej King Salman.
Semalam, Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Othman Mustapha berkata, doa adalah permohonan seorang hamba kepada Allah SWT.
“Sangat tidak wajar doa dijadikan produk atau perkhidmatan komersial kerana ia mempergunakan agama untuk habuan dunia dan mencemarkan kesucian Islam. Hak termakbulnya doa adalah milik Allah SWT semata-semata, bukan terletak kepada manusia,” katanya. – MalaysiaGazette