Empat wakil rakyat DAP Melaka keluar parti

KUALA LUMPUR – Pada ketika DAP membuka serangan ke atas empat wakil rakyat Melaka yang meninggalkan parti itu, beberapa pemimpin yang dilihat ‘tidak searus’ telah mengeluarkan kenyataan yang berbeza.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu yang dilihat di luar arus perdana DAP Pulau Pinang berkata, empat wakil rakyat yang juga veteran DAP Melaka telah membuat pilihan yang sukar.

Katanya lagi, sistem DAP sedia ada mengizinkan pemimpin menjawat satu-satu jawatan terlalu lama sehingga mereka kekurangan kreativiti dan gagal memperdalamkan sistem demokrasi parti.

“Ahli sukar untuk menyampaikan pandangan sendiri dalam parti.

“Walaupun saya menyuarakan pendapat beberapa kali melalui saluran dalaman, tetapi saya gagal menang kerana saya hanya ada satu undi,” katanya kepada China Press.

Yee Cheu pada masa yang sama bersetuju dengan pandangan empat wakil rakyat Melaka yang meninggalkan DAP bahawa strategi semasa parti itu telah menyimpang daripada prinsip asal DAP.

ADUN Pulau Pinang itu juga tidak bersetuju dengan kerjasama antara DAP dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him dan tiga ADUN Melaka yang lain, Goh Leong San (Duyong), Lim Jak Wong (Bachang) dan Chin Choon Seong (Kesidang) memilih meninggalkan DAP dan keputusan mereka itu dikaitkan dengan persengketaan dalaman parti.

Berikutan daripadanya, pemimpin pusat DAP telah membuka serangan ke atas mereka dengan pemangku Pengerusi DAP, Tan Kok Wai menggambarkan mereka sebagai barah dalam parti.

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong pula mengaitkan kejadian peninggalan parti itu dengan kegagalan empat wakil rakyat tersebut merebut jawatan penting dalam pemilihan DAP Melaka.

Naib Pengerusi DAP Selangor, Teng Chang Khim bagaimanapun tidak bersetuju dengan kenyataan Chin Tong tersebut.

“Ini adalah kenyataan yang tidak relevan kerana pemilihan parti telah berlalu untuk satu tempoh masa.

“Chin Tong mungkin sudah terlupa bahawa perjuangan mereka (empat wakil rakyat Melaka) dalam parti adalah lebih lama daripadanya.

“Keanggotaan Tong Him dalam DAP adalah lebih lama berbanding umur Chin Tong,” kata Chang Khim yang juga Exco Kanan Kerajaan Selangor kepada Sinchew Daily.

Sementara itu, seorang lagi veteran DAP iaitu ADUN Skudai dari Johor, Boo Cheng Hau berkata, DAP sepatutnya cuba memujuk empat wakil rakyat Melaka untuk kekal bersama parti.

“Surat keluar parti mereka hanya berkuat kuasa selepas sebulan, masih ada masa untuk memujuk mereka,” katanya dipetik China Press. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Comments are closed.