Empat wakil rakyat DAP Melaka keluar parti

PULAU PINANG – Penganalisis akhbar Cina, Datuk Dr. Cheah See Kian melihat kejadian empat wakil rakyat Melaka meninggalkan DAP sebagai bom jangka masa yang meletup.

See Kian dalam analisis yang diterbitkan dalam Oriental Daily berkata, walaupun peninggalan empat wakil rakyat itu mewujudkan gelombang dalam arena politik tetapi ia tidak sebesar tsunami politik pada 2008.

Katanya, gegarannya di Melaka tidak terlalu mengejutkan kerana ia sesuatu yang sudah dijangkakan dan prosesnya sudah berlaku sejak lama lagi.

Penganalisis itu mengaitkan kejadian di Melaka dengan pergolakan dalaman yang berlaku apabila Lim Guan Eng (kini Ketua Menteri Melaka) dan isterinya, Betty Chew kalah dalam pemilihan DAP Melaka pada 2005.

“Veteran DAP tidak lagi boleh bersabar apabila pemimpin pusat kecundang dalam pemilihan di peringkat negeri.

“Kebetulannya, Goh Leong San memegang kepimpinan DAP Melaka pada itu, ia merupakan bibit yang mewujudkan keadaan tidak sehaluan antara pusat dan negeri,” katanya.

Empat wakil rakyat yang meninggalkan DAP ialah Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him dan tiga ADUN Melaka yang lain, Goh Leong San (Duyong), Lim Jak Wong (Bachang) dan Chin Choon Seong (Kesidang).

See Kian berkata, walaupun Guan Eng berpindah ke Pulau Pinang dan menjadi ketua menteri pada 2008, tetapi hubungan Leong San dengan DAP pusat masih gagal diperbaiki.

Keadaan itu dikeruhkan lagi semasa Pilihan Raya 2013 apabila timbul dua calon DAP dalam satu kerusi, sehingga memerlukan campur tangan Kit Siang.

Kata See Kian, Leong San dan Tong Him pada awalnya bercadang bergabung tenaga dengan Boo Cheng Hau, pemimpin veteran di Johor, tetapi ADUN Skudai itu tiba-tiba bertukar haluan ke arah DAP pusat.

“Sekarang hanya tinggal Leong San, Tong Him dan kumpulan mereka. Bagaimana mereka boleh menang tanpa platform parti?” kata See Kian.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Comments are closed.