KUALA LUMPUR – Penyanyi popular Indonesia, Judika akan menghiburkan peminatnya di Malaysia menerusi siri jelajah promosi yang akan diadakan di negara ini dari 1 hingga 3 Mac depan.

Acara anjuran Hypp TV dengan kerjasama Sony Music Malaysia itu diadakan bersempena kemunculan single baharu penyanyi terbabit, Jadi Aku Sebentar Saja.

Bintang kelahiran program Indonesian Idol musim kedua itu juga dijangka berkunjung ke negara ini, minggu depan, bagi berkongsi cerita lanjut mengenai siri jelajah terbabit.

Judika, 38, antara nama besar Indonesia yang turut mendapat tempat di kalangan penggemar muzik negara ini menerusi lagu seperti Bukan Dia Tapi Aku, Aku Yang Tersakiti, Sampai Akhir, Apakah Ini Cinta dan Sampai Kau Jadi Milikku.

Penyanyi ini juga dijadualkan merakam sebuah lagu duet bersama Datuk Siti Nurhaliza dalam masa terdekat, karya yang bakal dimuatkan dalam album terbaru bintang kebanggaan Malaysia itu.

Untuk maklumat lanjut mengenai promosi siri jelajah Judika, peminat boleh melayari www.facebook.com/syokmuzik dan www.tm.com.my/hypptv. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast