Nancy Shukri bercakap kepada media selepas pelancaran Makmal Transformasi Bas Ekspres di Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 20 FEBRUARI 2017.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan membincangakan secara mendalam dengan pemain industri pengangkutan awam berhubung langkah yang boleh digunapakai bagi mengurangkan kemalangan jalan raya melibatkan bas ekspres.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, langkah-langkah perlu diambil dalam menangani masalah itu kerana ia melibatkan nyawa penumpang dan juga pengguna jalan raya yang lain.

“Antara masalah yang akan dibincangkan ialah berhubung kekurangan pemandu bas yang dialami oleh kebanyakan syarikat bas ekspres.

“Kita menyedari perkara itu selepas mengkaji kemalangan-kemalangan yang berlaku dan mendapati kebanyakannya pemandu memandu lebih dari 24 jam.

“Kita tahu memang ada pemandu yang tidak mahu ada ‘co-driver’ (pemandu kedua) kerana mereka mahu membolot elaun yang diberikan oleh syarikat. Sebab itu kita tidak mahu ini berlaku lagi,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pelancaran Makmal Transformasi Bas Ekspress di sini hari ini.

Menurut Nancy, perbincangan juga turut menjurus kepada aspek latihan yang wajar diberi oleh pihak syarikat kepada pemandu-pemandu bas ekspres dan kesediaan mereka untuk menawarkan jawatan kepada wanita untuk diambil bekerja sebagai pemandu.

“Saya fikir wanita juga boleh diberi peluang untuk menjadi pemandu sekiranya jarak perjalanan tidak terlalu jauh.

“Ini bagi mengurangkan jumlah pemandu (lelaki) pada masa sekarang ini yang kebanyakannya telah berusia lingkungan 50 hingga 60 tahun,” ujarnya.

Dalam pada itu Nancy berkata, antara pihak yang terlibat dalam usaha merencanakan langkah itu adalah pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Polis Diraja Malaysia.

Mengulas mengenai makmal yang akan dijalankan, Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, rumusan menerusi perbincangan yang berlangsung selama lapan minggu itu akan dibawa ke Kabinet untuk diputuskan.

Katanya, ia sudah pasti akan melibatkan kos perlaksanaan dan Kabinet perlu menentukannya kemudian.

“Industri akan datang (diserahkan) kepada kerajaan dan itu adalah peluang buat mereka. Bila kerajaan putuskan macam teksi SPAD boleh selesaikan dan menteri akan bincang di Kabinet.

“Kita tunggu dulu hasil daripada makmal ini dan lepas itu kita baru bincang bersama dalam Kabinet. Sebab bila ia menggunakan kos ia perlu dikaitkan dengan perancangan kewangan,” jelasnya. – MalaysiaGazette