Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Siasatan awal Kementerian Kesihatan mendapati tiada sebarang kesan suntikan pada tubuh abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam yang disyaki dibunuh di klia2 pada 13 Februari lalu.

Malah tiada sebarang bukti menunjukkan Jong-nam mengalami serangan jantung setelah dibedah siasat dilakukan oleh pasukan forensik di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur pada 15 Mei lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, mayat diterima pada pukul 10 pagi 15 Februari lalu dan pemeriksaan bedah siasat dilakukan bermula pukul 12.45 tengah hari hingga pukul 6.45 petang hari yang sama.

“Berdasarkan pemeriksaan awal bedah siasat forensik mendapati tidak ada sebarang kesan jarum atau suntikan serta kecederaan pada tubuh si mati (Jong-nam).

“Selain itu, tiada bukti bahawa si mati ada serangan jantung, maka tiada bedah siasat kedua dijalankan ke atas si mati,” katanya dalam sidang media di Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang turut dihadiri Pengarahnya, Datuk Dr. Zaininah Mohd Zain.

Noor Hisham berkata, pemeriksaan yang dilakukan itu adalah mengikut ketetapan dalam Seksyen 331 Kanun Prosedur Jenayah dan pemeriksaan tersebut dihadiri pegawai penyiasat polis.

Ujarnya, pasukan bedah siasat itu dianggotai pakar perunding kanan forensik, pakar radiologi forensik dan pakar odontologi forensik yang yang bertauliah dan berpengalaman luas.

Mengulas lanjut beliau berkata, mayat telah menjalani proses bedah siaat yang lengkap, termasuk ujian computer tomography, bedah siasat luaran dan dalaman serta pemeriksaan forensik pergigian.

“Kami sudah ada spesimen DNA, cap jari dan gigi yang perlu dipadankan untuk kenal pasti identiti namun masih tunggu pengesahan daripada ahli keluarga yang masih belum muncul, selain rekod perubatan mangsa dari kedutaannya.

“Kami sudah menghantar spesimen ke makmal kimia dan di sana akan dilihat spesimen sama ada terdapat sebarang kemungkinan racun dan sebagainya. Sedang menantikan keputusan itu,” ujarnya.

Tambah Noor Hisham, mayat dikendalikan dengan penuh hormat dan spesimen-spesimen medikolegal yang telah diambil juga telah dikendalikan mengikut peruntukan undang-undang untuk menjaga rantaian bukti.

“Spesimen medikolegal tersebut telah diserahkan kepada pegawai penyiasat polis sejurus selepas pemeriksaan bedah siasat untuk dihantar ke makmal Jabatan Kimia di Petaling Jaya untuk dianalisa.

“Setakat ini belum ada waris atau ahli keluarga mangsa yang tampil untuk mengecam mayat. Kami akan tunggu keputusan makmal untuk tindakan selanjutnya.

“Analisa-analisa ini bertujuan untuk mengesahkan identiti si mati dan juga punca kematian di mana keputusan makmal masih dalam proses. Tiada bedah siasat kedua dijalankan ke atas mayat si mati,” kata beliau. – MalaysiaGazette