Najib Razak

PUTRAJAYA – Langkah kerajaan yang berani dalam melakukan perubahan struktur dalam melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) merupakan keputusan tepat apabila berjaya menambah hasil negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, ia termasuk langkah kerajaan merasionalisasikan subsidi.

Menurut beliau, negara sukar dalam berdepan dengan cabaran persekitaran ekonomi global yang tidak menentu tanpa asas ekonomi yang kukuh.

“Kalau tidak berani membuat perubahan struktur bagi menangani kelemahan tertentu, sudah pasti tidak boleh untuk kita letak ekonomi di landasan kukuh malah dalam aspek kesejahteraan rakyat juga mungkin sukar ditunaikan.

“Bagaimanapun, kita pilih untuk laksanakan GST, itu langkah berani Malaysia yang didorong dengan kesungguhan politik.

“Langkah kita ini turut menjadi ikutan oleh negara India yang akan melaksanakan GST pada April tahun depan pada kadar 23 peratus dan Arab Saudi yang buat kali pertama melaksanakan GST, maknanya tidak salah kita laksanakan GST kerana ia langkah yang tepat,” katanya semasa berucap pada Majlis Sanjungan Budi Setulus Ingatan Tahun 2015 dan 2016 Perbendaharaan Malaysia di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, kejayaan tidak datang dengan mudah manakala keputusan yang sukar dan mencabar perlu dilakukan.

Katanya, hasil negara telah bertambah walaupun harga minyak merudum dan boleh meneruskan program kesejahteraan kepada rakyat.

Dengan mengambil contoh dalam mendepani perkara ini, Najib berkata, kerajaan turut melaksanakan subsidi bersasar yang diterjemahkan dalam bentuk bantuan kepada rakyat melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Kalau ada orang kritik BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia), sebenarnya rakyat suka pada BR1M. Saya berani menyatakan rata-rata rakyat Malaysia suka dan menyokong BR1M. Apa yang dibuat oleh Kementerian Kewangan melalui BR1M adalah
tepat,” katanya.

Najib berkata, Kementerian Kewangan telah melalui evolusi apabila peranannya kini bukan hanya menguruskan dasar fiskal dan kewangan negara tetapi juga menjadi kementerian yang melaksanakan pelbagai program seperti Pusat
Transformasi Bandar dan program Pembangunan Keusahawanan.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Ketua Setiusaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast