KUALA LUMPUR – Seorang wartawan media tempatan tidak sangka dalam kesibukannya membuat liputan kes pembunuhan rakyat Korea Utara Kim Jong-nam, beliau akan memperoleh pengalaman dan pengajaran berharga daripada sekumpulan wakil media dari Jepun.

Ketika ramai wakil media tempatan dan antarabangsa ‘berkampung’ di perkarangan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur, wartawan Bernama, Amirul Mohd Sajadi disajikan dengan sikap menjaga kebersihan dan disiplin tinggi kumpulan media dari negara matahari terbit itu .

Kerana kagum dengan apa yang disaksikan, beliau merakam aktiviti empat wartawan lelaki itu yang mengutip sampah dan membersihkan perkarangan IPFN sebaik sahaja wartawan lain meninggalkan kawasan itu sehingga rakamannya itu menjadi tular dan mendapat perhatian ramai.

Sejak kes pembunuhan Jong-nam pada 13 Feb lalu, IPFN menjadi tumpuan pengamal media berikutan mayat lelaki itu ditempatkan di situ sehingga kini.

Dua video memaparkan aktiviti empat wartawan itu, masing-masing berdurasi 12 dan 13 saat, telah dirakam oleh Amirul pada 2.30 pagi 16 Feb lalu.

Video berserta catatan yang dimuat naik Amirul di laman Facebooknya mencuri tumpuan netizen serta dikongsi sebanyak 169 kali selain turut dipaparkan oleh beberapa portal berita.

“Selesai berkemas kelengkapan, aku perasan hanya kumpulan media Jepun je yang tidak terus pulang… mereka seperti mencari sesuatu dengan memegang plastik… lama aku perhatikan dia orang, manalah tahu ada barang mereka yang hilang ke… tapi rupanya aku silap… dia orang sebenarnya sedang kutip sampah di sekitar kawasan media lepak (berkumpul) tadi.

“Segannya aku, ya lah orang luar yang tolong kutipkan sampah… dan yang buat aku lebih tergamam, semua sampah yang dia orang kutip tu, dia orang bawa naik teksi dan aku pun tak pasti ke mana dia orang bawa semua sampah tu pergi. Hebat sungguh disiplin dia orang!” kata Amirul.

Walaupun berada di negara asing, mereka tetap mempamerkan sikap pembersih dan disiplin tinggi diri mereka dengan mengutip sampah di perkarangan IPFN.

Amirul ketika dihubungi menyifatkan tindakan kumpulan wartawan itu sangat mulia selain memuji semangat serta dedikasi tinggi dimiliki mereka apabila hanya berehat selama tiga jam sebelum menyambung tugasan yang diberikan.

“Mereka bekerja selama 21 jam sehari, bermula seawal 5 pagi sehingga 2 pagi sebelum kembali berkampung di sini pada 4.45 pagi untuk membuat liputan hari berikutnya,” katanya.

Beliau berharap rakyat Malaysia juga akan mengambil contoh sikap masyarakat Jepun itu yang terkenal dengan sifat pembersih, bertanggungjawab dan rajin dalam melaksanakan sesuatu tugasan.

— BERNAMA