AMSTERDAM – Seramai 59 orang penumpang pesawat Flybe dari Edinburgh selamat dan berjaya dikeluarkan selepas gear pendaratan pesawat rosak ketika mendarat di Lapangan Terbang Schiphol di sini.
Perkhidmatan kecemasan bergegas ke tempat ke landasan bagi kerja-kerja mengeluarkan penumpang.
Kejadian itu disahkan oleh Lapangan Terbang Schipol dalam Twitternya yang menyebut gear pendaratan Flybe rosak ketika mendarat.
“Semua penumpang dibawa menaiki bas buat masa ini,” katanya.
Kerosakan itu menyebabkan hanya satu sayap yang menyentuh landasan ketika pesawat itu berjaya mendarat.
Manakala Flybe dalam kenyataannya mengesahkan kejadian itu melibatkan pesawatnya BE1284 dan tidak ada kecederaan dilaporkan berlaku.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Christine Ourmieres-Widener menambah, juruterbang-juruterbang syarikat penerbangan itu sudah dilatih untuk menghadapi situasi berkenaan secara profesional.
Bagaimanapun, katanya, keselamatan dan kesejahteraan penumpang Flybe tetap menjadi keutamaannya.
Tambah beliau, Flybe sudah pun menghantar kumpulan pakar untuk menyiasat kejadian yang kedua berlaku melibatkan Flybe pada hari tersebut.
Sebelum itu, pesawat Flybe dari Glasglow ke Birmingham telah berpatah balik selepas mengalami maslaah teknikal. – MalaysiaGazette