KUALA LUMPUR – Malaysia tidak perlu takut dan melayan kerenah rejim Korea Utara yang dilihat cuba menekan dan membuat tuduhan tidak berasas berhubung kematian abang tiri kepada presidennya, Kim Jong-nam, kata Dr Chandra Muzaffar.

Duta Besar Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol bercakap pada sidang media mengenai kematian abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-Nam di Kedutaan Korea Utara, Damansara. foto FAREEZ FADZIL, 20 FEBRUARI 2017
Duta Besar Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol bercakap pada sidang media mengenai kematian abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-Nam di Kedutaan Korea Utara, Damansara. foto FAREEZ FADZIL, 20 FEBRUARI 2017

Presiden Pergerakan Keadilan Sejagat (JUST) itu menyifatkan proses siasatan yang dilakukan oleh Malaysia adalah mengikut piawaian antarabangsa dan tidak sewajarnya dipertikaikan oleh kerajaan Korea Utara yang terkenal dengan sikap sering menimbulkan masalah kepada dunia.

“Pendirian kita itu berdasarkan pada lunas-lunas diplomasi, saya mengganggap pendirian kita itu tak jadi masalah yang jadi masalah pendirian kerajaan Korea Utara, kita harus jelas dengan perkara ini kerana bukan kita yang bermasalah.

“Kerana pembunuhan yang berlaku di klia2 kita perlu siasat dan kita guna pakai kaedah siasatan seperti diamalkan di tempat-tempat lain seperti pembedahan post-mortem (bedah siasat) dan kita siasat apa yang benar-benar berlaku, kita cuba mendapat bukti daripada kaum keluarganya dan sebagainya, itu caranya dan ia tak jadi masalah,” kata Dr Chandra kepada MalaysiaGazette.

Terdahulu, pertikaian tercetus apabila Korea Utara enggan mengiktiraf hasil bedah siasat, malah menuduh Malaysia bersekongkol dengan kuasa asing untuk memburuk imej rejim tersebut.

Korea Utara juga mendesak supaya mayat Jong-nam itu dipulangkan dengan memberi alasan pemegang pasport diplomatik, namun permintaan itu ditolak.

Menurut Dr Chandra, semua bentuk ancaman dan tuduhan dibuat oleh Korea Utara sememangnya sudah dijangkakan memandangkan rekod rejim tersebut yang tidak mengikut lunas diplomasi antarabangsa dan sering bertindak luar batasan.

“Kalau kita lihat rekod Korea Utara dan apa yang dilakukan pada masa lampau banyak menunjukan bahawa ini adalah rejim yang tidak mengikut diplomasi antarabangsa. Mereka pernah bunuh pengkritik-pengkritik di luar negara, pernah melakukan banyak benda yang mengancam keselamatan serantau, bertanggungjawab atas peningkatan ketegangan dan sebagainya.

“Jangan lupa pada 1987 ejen-ejen perisikan Korea Utara ini terlibat secara langsung dalam pengeboman pesawat sebelum Sukan Olimpik di Korea Selatan kerana begitu marah pada Korea Selatan dan takut nama Korea Selatan akan meningkat kerana dipilih sebagai penganjur Sukan Olimpik pada 1988,” terang Dr Chandra lagi.

Namun, Dr Chandra menegaskan Malaysia tidak perlu tunduk dengan bentuk tekanan dan tuduhan oleh Korea Utara, sebaliknya berpegang kepada prinsip-prinsip negara kita yang selaras dengan undang-undang antarabangsa.

“Ini bukan perkara yang biasa dilakukan oleh mana-mana kerajaan yang siuman, memang masalah yang besar dengan Korea Utara ini.

“Jadi saya bimbang sedikit bagaimana krisis ini akan selesai kerana kita berdepan dengan sebuah rejim yang tidak rasional, tapi kita kena pegang dengan prinsip-prinsip kita yang sbnrnya selaras dengan undang-undang antarabangsa,” katanya lagi.

Pihak berkuasa Malaysia perlu terus menjalankan siasatan dan sebaik lengkap siasatan ia mesti diumumkan kepada khayalak awam supaya ia diadili sendiri oleh dunia, kata Dr Chandra yang yakin negara PBB akan menyokong segala tindakan dan langkah diambil oleh Malaysia.

“Kita perlu meneruskan proses penyiasatan dan tentukan yang benar-benar berlaku dan lepas itu kita umum kepada khayalak ramai.

Selepas kita dapat laporan penuh tentang racun itu dan sekiranya kita mendapat DNA keluarga itu kita dapat selesaikan siasatan secara adil. Kita umumkan dan lihat apa yang akan dilakukan Korea Utara.

“Saya fikir kebanyakan negara, hampir semua negara yang menjadi anggota PBB, mereka akan sokong pendirian kita, mereka akan memihak kepada kita.

“Kerana mereka tahu tentang rejim ini, rejim terpinggir yang melakukan luar norma kebiasaan,” katanya lagi.

Jong-nam, abang pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un, berada klia2 pada 8 pagi 13 Feb untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila sejam kemudian dua wanita menghampirinya dan menyapu mukanya dengan tapak tangan mereka yang telah disembur dengan cecair beracun.

Jong-nam telah meminta bantuan di kaunter khidmat pelanggan di lapangan terbang itu dan segera dibawa ke Hospital Putrajaya tetapi meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

Beliau datang ke Malaysia pada 6 Feb dan menggunakan pasport yang tertera nama Kim Chol. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast