Yun Byung-se

SEOUL – Menteri Luar Korea Selatan, Yun Byung-se yang akan menghadiri persidangan antarabangsa minggu ini akan menyuarakan penentangan pencabulan hak asasi manusia Korea Utara dan memberi penerangan tentang penggunaan senjata kimia oleh Pyongyang.

Yun merancang melawat Geneva pada hari Isnin dan Selasa untuk menghadiri sesi Majlis Hak Asasi Manusia PBB dan Persidangan Pelucutan Senjata, kata kementerian luar Seoul.

Menteri itu bakal berangkat ke Switzerland pada hari Ahad.

Pada mesyuarat mengenai hak asasi manusia PBB, diplomat tertinggi Korea Selatan akan menyampaikan ucaptama dengan menyatakan kebimbangan kuat kerajaan itu mengenai hak asasi manusia di Korea Utara yang tidak selari dengan dunia, kata kementerian itu.

Seoul biasanya menghantar Naib Menteri Luar ke mesyuarat PBB, tetapi ia meningkatkan tahap wakil negara selepas polis Malaysia mengesahkan agen saraf VX digunakan untuk membunuh saudara tiri pemimpin Korea Utara pada 13 Februari lalu.

Agen saraf VX diklasifikasikan oleh PBB sebagai senjata pemusnah besar-besaran.

Tomas Ojea Quintana, pelapor baru khas PBB mengenai hak asasi manusia Korea Utara, mengemukakan laporan pertama beliau mengenai situasi tersebut kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB.

Satu resolusi mengutuk pencabulan hak Pyongyang dijangka diguna pakai pada 23 dan 24 Mac ini, kata kementerian itu.

Yun akan mencadangkan supaya tekanan ke atas Korea Utara dilakukan bagi melepaskan senjata nuklear pada Persidangan Pelucutan Senjata nanti.

Ditubuhkan pada tahun 1979, persidangan itu merupakan forum pelbagai hala untuk berunding kawalan senjata dan pelucutan senjata. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast