KUALA LUMPUR – Selepas kali terakhir diadakan kira-kira 46 tahun lalu, Kongres Budaya bakal dianjurkan semula dengan tumpuan khas kepada aspek pembudayaan atau cara hidup dalam kalangan masyarakat Malaysia yang dilihat semakin terhakis nilainya.
Dijadualkan pada 15 April ini, Kongres Budaya 2017 dianjurkan atas desakan pelbagai pihak yang berpendapat kongres seumpama itu perlu diadakan bagi meneliti semula cara hidup dan pembudayaan masyarakat Malaysia.
Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Rais Yatim ketika mengumumkan perkara itu berkata, masyarakat kini kian lama kian hilang cara hidup yang positif.
“Setelah melihat apabila berlalunya merdeka, berlalunya hal-hal bersabit dengan 13 Mei 1969 dan setelah melihat kian lama kian hilang cara hidup kita yang positif, maka dirasakan pelbagai badan budaya, sosial dan juga rakan dalam politik harus diadakan satu lagi sentakan untuk satu pemikiran sebulat suara terhadap cara hidup dan pembudayaan kita,” kata beliau dalam sidang di pejabatnya di Plaza Sentral hari ini.
Beliau juga menjelaskan rasional untuk kongres ini diadakan bertujuan mengingatkan kembali masyarakat Malaysia mengenai wasiat yang ditinggalkan oleh Raja-Raja Melayu terdahulu di samping menimbulkan kesedaran dalam menghayati Rukunegara yang menjadi teras negara.
“Kita rasakan Wasiat Raja-Raja Melayu bertahun-tahun dahulu telah diketepikan dan tidak mendapat perhatian lagi.
“Kedua, Rukun Negara yang menjadi obor masyarakat Malaysia sendiri berada hanya di tahap sekali sekala ditimbulkan bukan berada ditahap yang diamalkan sebagai satu silbus atau petua yang jelas,” terang beliau.
Selain itu, Rais juga menyentuhaspek ‘budi’ dalam masyarakat Malaysia yang semakin hilang kerana terlalu mengejar kekayaan dan lebih bersifat rakus.
Dengan Kongres Budaya ini, Rais berharap ia dapat memberi peluang kepada semua kaum menyentuh mengenai hal-hal yang rapat dengan masyarakat kita seperti berkaitan dengan isu perpaduan, pendidikan dalam hal saling menghormati dan juga menitikberatkan kebersihan.
Dalam pada itu, Rais juga berharap syor-syor pembudayaan yang diputuskan dalam Kongres Budaya ini dapat juga diserapkan dalam Transformasi Nasional 50 (TN50).
“TN50 sekarang heboh dikatakan, jadi kami yang mengendalikan kongres ini ingin memasukkan idea dan saranan supaya ada aspek pembudayaan dimasukkan.
“Jadi bawah TN50 kita jangan hendaknya mempersoalkan tentang ekonomi, pembangunan dan gah politik semata-mata tapi mesti ada kandungan pembudayaan mengasuh kanak-kanak dari darjah bawah sampai atas,” katanya.
Kongres kali ini akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan beberapa bengkel akan diadakan sekitar Mac ini sebelum dibentangkan pada 15 April nanti. – MalaysiaGazette