John Brennan

WASHINGTON – Semua petunjuk menunjukkan Pyongyang bertanggungjawab dalam pembunuhan abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam, kata bekas Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), John Brennan.

Brennan, yang berkhidmat sebagai pengarah CIA sehingga Januari lalu berkata demikian dalam wawancara  dengan CBS Face the Nation selepas polis Malaysia mengumumkan agen saraf VX telah digunakan dalam pembunuhan Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 13 Februari lalu.

VX adalah agen senjata kimia yang disenaraikan sebagai senjata pemusnah besar-besaran oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan penggunaannya adalah diharamkan di bawah Konvensyen Senjata Kimia.

Hasil analisa awal itu menguatkan syak wasangka bahawa Korea Utara di sebalik pembunuhan itu.

Lapan warga Korea Utara termasuk mereka yang memegang pasport rasmi seorang diplomat juga telah dinamakan suspek dalam kes itu.

Tetapi Pyongyang telah menafikan dakwaan tersebut, menuduh Korea Selatan berpakat dengan Malaysia.

“Penggunaan VX ini terhadap saudara tirinya – pastinya, semua penunjuk mengarah kepada Korea Utara – ia adalah satu lagi contoh penggunaan toksin untuk melaksanakan objektif beliau,” kata Brennan.

Tambah Brennan, penggunaan VX menunjukkan pemimpin Korea Utara  itu untuk terus menggunakan cara untuk menghapuskan penentang rejim dalaman atau individu yang tidak bersetuju dengan beliau.

“Berlaku penindasan kejam di Korea Utara sejak pemerintahan Kim Jong-un. Dia membunuh, ramai individu menjadi mangsa kekejamannya,” kata beliau.

Dalam usaha untuk menyatukan cengkaman kuasa sejak mengambil alih sebagai pemimpin berikutan kematian Kim Jong-il pada akhir tahun 2011, pemimpin Korea Utara telah membunuh beberapa pegawai kanan kerajaan dan tentera, termasuk membunuh bapa saudaranya sendiri Jang Song-thaek pada tahun 2013. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast