Johan Abdul Aziz

SEMENYIH – Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukan antara RM200,000 hingga RM300,000 bagi menyelenggara infrastruktur sesebuah kawasan pangsapuri di Selangor.

Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri KPKT, Datuk Johan Abd. Aziz berkata, peruntukan khas itu adalah untuk membantu meringankan beban Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri yang kekurangan dana.

Kata beliau, Tan Sri Noh Omar selaku Menteri KPKT menerima aduan mengenai kos penyelenggaran yang tinggi bagi setiap pangsapuri dan masalah dihadapi JMB yang kekurangan sumber kewangan.

“Menteri mendengar masalah itu dan menyediakan sejumlah peruntukan untuk membantu menyelenggara infrastruktur pangsapuri khusus yang ada di Selangor dan seluruh negara.

“Ini kerana kebanyakan pangsapuri ini memerlukan penyelenggaraan yang lebih sempurna kerana banyak masalah yang timbul seperti kerosakan lif dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas melawat Flat Baiduri Taman Tasik Kesuma di sini hari ini.

Sementara itu, kata Johan, penduduk pangsapuri juga perlu lebih bertanggungjawab dengan melunaskan hutang kos penyelenggaraan yang tertunggak bagi memudahkan JMB mengurus kediaman itu tanpa perlu bergantung kepada bantuan kerajaan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Semenyih berkata, penduduk perlu faham, selain tinggal di pangsapuri berkenaan, mereka dikenakan caj penyelenggaraan dengan kadar antara RM20 hingga RM30 sebulan.

“Duit daripada caj akan digunakan oleh JMB bagi kemudahan penduduk juga. Mereka seharusnya memberi kerjasama dalam hal ini, jangan hanya mengharapkan bantuan dari luar,” katanya. – MalaysiaGazette