KUALA LUMPUR – Suami kepada allahyarham Ary Malik, Shahrul Nizam Shaharuddin menyifatkan pemergian isterinya sebagai kehilangan sesuatu yang besar dalam hidupnya.
Shahrul Nizam, 46, turut menggambarkan Ary seorang isteri yang sangat penyayang dan disayangi ramai.
“Saya hilang sesuatu yang besar dalam hidup saya.
“Saya banyak belajar tentang kehidupan bersamanya.
“Anak-anak masih bersedih dan terkejut. Mereka sudah mula rindu dan berasa ketiadaan waktu mandikan jenazah.
“Saya berterima kasih atas doa dan ucapan takziah buat kami sekeluarga,” katanya kepada pihak media semalam.
Semalam, Ary atau nama sebenarnya Nurita Maliha Aryanee Malik, 46, menghembuskan nafasnya yang terakhir kira-kira pukul 7.17 malam di Hospital Ampang, selepas kira-kira setahun menderita penyakit kanser ovari.
Allahyarham meninggal dunia di sisi keluarga termasuk suami dan anak-anaknya selepas kira-kira 10 hari dirawat di hospital itu.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Taman Ibu Kota, Setapak pada malam tadi.
Ary pernah menyertai MasterChef Selebriti Malaysia pada tahun 2012.
Hasil perkahwinannya dengan Shahrul Nizam atau lebih dikenali sebagai Shahrul Bromo, mereka memiliki tiga orang anak iaitu, Nurh Zoe Iman Malik, 19, Dinda Pelangi Timor Malik, 13, dan Ratu Chinta Mecca Malik yang berusia 11 tahun. – MalaysiaGazette