Abd. Aziz (tiga dari kiri) dan Mohd Fauzi (tiga dari kanan) mendengar penerangan dari AJK Pas Pulau Pinang.

KUALA LUMPUR – Pas Pulau Pinang menyatakan komitmen untuk bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri dalam usaha mencegah jenayah rasuah dalam kalangan ahli politik.

Menurut Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd Fauzi Yusoff, pendirian itu selaras dengan gagasan Pas Pusat merealisasikan Budaya Politik Matang dan Sederhana (BPMS).

Kata beliau, pertemuan selama dua jam kepimpinan Pas negeri dengan Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Abd. Aziz Aban, menekankan perbincangan mengenai perbuatan rasuah serta salah guna kuasa dalam kalangan pemimpin politik terutama yang memegang jawatan

“Semalam, kepimpinan Badan Perhubungan Pas Pulau Pinang mengadakan lawatan kerja ke pejabat SPRM Negeri. Kami bertemu selama dua jam, berbincang mengenai perbuatan rasuah dan salah guna kuasa di kalangan ahli politik terutama yang memegang jawatan di sektor awam.

“Selain taklimat mengenai rasuah daripada SPRM, isu semasa di Pulau Pinang yang berkaitan dengan unsur rasuah dan salah guna kuasa juga turut dibincangkan secara serius,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Jelas Mohd Fauzi, bagi pihak Pas, mereka akan memberi kerjasama kepada SPRM dari aspek kesedaran agama dan perundangan Islam. – MalaysiaGazette