Iskandar meninjau projek pembentungan terbengkalai di Jalan Pandan 5 dan Jalan Pandan 7 di Ampang.

AMPANG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka, Datuk Iskandar Abd. Samad meminta Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air menangani segera projek pembentungan yang terbengkalai di Jalan Pandan 5 dan Jalan Pandan 7, Ampang.

Beliau berkata, projek itu dikhuatiri mengancam keselamatan penduduk dan pengguna jalan raya berikutan lubang yang digali dipenuhi air.

Kata Iskandar, beliau telah menulis surat kepada menteri berkenaan, Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili mengenai masalah itu dan memintanya memberi penjelasan mengenai status projek yang mengganggu serta menimbulkan kesusahan kepada penduduk.

“Kita menggesa agar menteri mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah projek terbengkalai ini kerana ia mengancam keselamatan rakyat.

“Contohnya, lubang yang digali itu agak dalam dan telah dipenuhi air. Ini merbahaya kepada penduduk kerana lubang itu tidak dipagar dengan sempurna dan sesiapa sahaja boleh terjatuh dan kemungkinan berlaku kejadian mati lemas.

“Lubang ini juga merbahaya kepada murid dan penduduk kerana projek terbengkalai ini terletak berhampiran sekolah kebangsaan serta rumah kediaman,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Menurut Iskandar, beliau bimbang keselamatan murid yang setiap hari melalui kawasan projek itu, selain air yang bertakung menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes dan menyebabkan wabak demam denggi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar menjelaskan, projek terbengkalai itu yang turut melibatkan sebahagian besar laluan menyebabkan berlaku kesesakan trafik.

“Malah ada pemandu yang tidak sabar menunggu isyarat pengawal trafik telah bertindak melulu dan mengundang kemalangan,” katanya. – MalaysiaGazette