Suspek ke empat warga Korea Utara, Ri Jong-Chol (tengah) yang lengkap berpakaian kalis peluru dibawa keluar dari IPD Sepang oleh Pasukan Petugas Khas Terancang (STAFOC) untuk diserahkan ke Jabatan Imigresen berkenaan kes pembunuhan Kim Jong-Nam yang merupakan abang tiri pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un di Ibu Pejabat Polis Daerah, Sepang. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 03 FEBRUARI 2017

BEIJING – Ri Jong Chol, suspek kes pembunuhan Kim Jong-nam mendakwa beliau menjadi mangsa konspirasi pihak berkuasa Malaysia yang cuba merosakkan maruah Korea Utara.

Jong Chol, warga Korea Utara, menuduh Malaysia menggunakan paksaan ketika mendapatkan pengakuan daripadanya.

Semasa membuat kenyataan, Jong Chol mendakwa telah dimaklumkan dengan keterangan palsu apabila polis menunjukkan gambar keluarganya dalam tahanan.

“Saya sedar ini adalah satu plot konspirasi, untuk cuba merosakkan status dan maruah Korea Utara,” katanya kepada pemberita di luar kedutaan Korea Utara di Beijing.

Jong-nam dibunuh pada 13 Februari lalu di klia selepas diserang oleh dua wanita yang menyerkup muka mangsa dengan agen saraf VX, yang diklasifikasikan sebagai senjata kimia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Keluarga Jong Chol dikesan berada di Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur pada petang Jumaat selepas dilaporkan menghantar lelaki itu di lapangan terbang.

Isteri Jong Chol dan anak perempuannya berusia 20 tahun menetap di Malaysia untuk tempoh tiga tahun yang lalu.

Anaknya tiba di Malaysia pada tahun 2016. Mereka telah tinggal di kondominium Dynasty Garden di pinggir Kuala Lumpur lebih setahun lalu.

Menurut jiran-jirannya, isteri Jong Chol cuba membunuh diri dengan mengelar leher semasa polis masuk ke apartmen mereka pada 17 Februari lalu untuk menangkap suaminya.

Kes pembunuhan Jong-nam telah mencetuskan ketegangan dalam hubungan Malaysia dan Korea Utara.

Jong Chol mendakwa beliau tidak berada di lapangan terbang semasa pembunuhan itu berlaku dan tidak tahu menahu dakwaan yang keretanya digunakan dalam kes tersebut.

Beliau berada di Beijing dalam perjalanan pulang ke Korea Utara selepas diusir keluar dari Malaysia.

Ketibaan beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing telah disambut oleh sekumpulan pemberita Korea Selatan dan Jepun tetapi Jong Chol berjaya melepaskan diri daripada membuat sebarang kenyataan.

Sebelum ini, perisikan Korea Selatan dan Amerika Syarikat mendakwa pembunuhan itu dirancang oleh Korea Utara. – MalaysiaGazette