Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Sejak kebelakangan ini nampaknya pimpinan Pas cuba mengemukakan cadangan perlunya diwujudkan kerajaan tenokrat.

Ia dikatakan formula bagi ketidaktentuan iklim dan parti politik yang rencam di Malaysia.

Cadangan itu oleh Presiden Pas sendiri, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menganggapnya jalan keluar daripada kemelut yang berlaku dengan kepelbagaian ras, agama, ideologi dan fahaman rakyat di Malaysia.

Kerajaan tenokrat jauh berbeza daripada amalan demokrasi sekarang kerana dalam kerajaan bukan sahaja orang politik menjadi menteri malah Perdana Menteri sekali pun.

Ia menawarkan peluang kepada cendikiawan, akademik dan tokoh-tokoh dalam pelbagai bidang profesional sebagai pembuat dasar.

Dalam kerajaan tenokrat, golongan itu tidak perlu menyertai pilihan raya malah mereka dipilih oleh orang politik yang memenangi pilihan raya.

Ia dasarnya bagi mengimbangi pemikiran politik dan pemikiran teknorat dalam mentadbir negara.

Atas kertas, ia dapat menghapuskan isu persepsi dan salah guna kuasa pemimpin politik atau kecenderungan kepimpinan menjadi diktator.

Kerajaan tenokrat juga mengamalkan konsep pembangkang menjadi rakan dan bukan dalam keadaan sentiasa mencari siapa salah seperti sekarang.

Sekali imbas, ia dilihat sekadar cadangan atau kertas kerja Pas sahaja tetapi bagi pemerhati politik, ia mungkin ‘kulit’ baru Pas demi survival politik pada masa depan.

Pas tidak lagi tampil dengan keras sekarang malah kini cuba menampilkan konsep hikmah baik dalam tindakan dan terminologi.

Dalam Islam, konsep sedemikian pun tidak ada masalah selagi ia mampu memberi keadilan lebih baik daripada sekarang.

Bagaimanapun, ada kata pendekatan kerajaan tenokrat bakal menjadi ‘senjata’ dalam Pas dalam dua keadaan selepas PRU-14 nanti.

Jika BN mengekalkan pemerintahan, mungkin tidak berlaku lagi cerita kerajaan campuran seperti kisah lama Pas-UMNO di Kelantan.

Pas mungkin menggunakan pendekatan kerajaan tenokrat ‘memujuk’ BN mengambil orang-orangnya dalam kerajaan dan atas nama kerjasama yang ada sekarang segalanya berkemungkinan.

Jika sebaliknya apabila kerajaan diambilalih pakatan pembangkang, Pas dengan kekuatan sedia ada mempunyai kuasa menawar untuk bersama kerajaan melalui pendekatan kerajaan tenokrat.

Lagi pun, Pas masih ‘pembangkang’ walaupun tidak berada dalam PH dan pembangkang pula gentar jika Pas bekerjasama dengan BN.

Ternyata idea kerajaan tenokrat Pas bukan sekadar idea dalam kolokium, seminar dan usrah, ia sebenarnya idea talian hayat Pas meneruskan survivalnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast