Mohd Hashim Abdullah.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendedahkan kira-kira empat juta lebih pengundi golongan mudah masih belum mendaftar bagi membolehkan mereka menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Hashim Abdullah berkata, sebanyak 45 peratus daripada keseluruhan 30 juta lebih rakyat Malaysia terdiri daripada golongan muda dan mereka masih belum mendaftarkan diri sebagai pemilih.

“Berdasarkan statistik terkini itu, kira-kira 45 peratus daripada rakyat Malaysia adalah golongan muda dan lebih empat juta daripadanya tidak berdaftar sebagai pengundi dan ini adalah satu kebimbangan.

“Jika tidak berdaftar sebagai pengundi, tidak guna bercakap di media sosial (berkaitan situasi politik negara), kalau apa yang dicakapkan itu tidak diterjemah dalam bentuk undi,” beliau dipetik berkata.

Bagi menambah pendaftaran pengundi, Mohd. Hashim berkata, SPR akan mengadakan lebih banyak kempen disamping membuka tempat pendaftaran di kawasan dimana orang ramai sukar mendapatkan akses.

“SPR akan tumpukan di kawasan yang rakyat sukar keluar untuk mendaftar pengundi seperti di luar bandar selain di pusat beli-belah di bandar-bandar utama. Usaha ini bagi memastikan lebih empat juta belum berdaftar itu dapat menunaikan tanggungjawab mereka,” katanya.

Menurut Hashim, pihak SPR tidak boleh mengambil tindakan terhadap mereka yang berdaftar sebagai mengundi tetapi berharap rakyat Malaysia sedar dengan tanggungjawab mereka.

“Tidak daftar mengundi dan tidak keluar mengundi ketika pilihan raya adalah hak mereka. Kita (SPR) tidak boleh berbuat apa-apa, termasuk mengheret ke mahkamah kerana itu adalah hak mereka.

“Kita hanya boleh menggalakkan mereka untuk mendaftar dan keluar mengundi,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast