KUALA LUMPUR – Pengeluar tudung terkemuka, Naelofar Hijab kini membuka cawangan kedua butik itu di Publika Shopping Gallery dikenali Naelofar Publika.
Naelofar Publika merupakan butik kedua selepas butik pertama Naelofar Hijab di Taman Tun Dr Ismail di sini yang dibuka sejak Februari 2015.
Butik ini dibuka setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 10 malam dengan menawarkan pelbagai koleksi terkini daripada Naelofar Hijab, pakaian Muslimah dan produk minyak wangi.
Majlis perasmian butik itu telah disempurnakan oleh pemilik yang juga pelakon dan pengacara popular, Neelofa baru-baru ini.
Sempena pembukaan butik itu, pelbagai aktiviti diadakan seperti sesi bersama juruhias peribadi Neelofa, cara penghasilan koleksi terkini dari Naelofar Hijab iaitu Lady Lofa dan pengunjung boleh membuat tempahan secara khas koleksi Lady Lofa Luxe mengikut pilihan mereka.
Neelofa berkata, pembukaan butik kedua ini bukan sahaja untuk memperkenalkan produk kepada pelanggan mereka malah menjadi satu cara lain untuk peminat mereka mendapat koleksi kegemaran mereka.
“Pengunjung juga berpeluang untuk menonton secara lebih dekat di sebalik tadbir penghasilan koleksi terkini Naelofar Hijab iaitu Lady Lofa Luxe.
“Pertunjukan ini akan menunjukkan proses sepenuhnya bagaimana proses jahitan dari awal sehingga akhir sehingga ke perhiasan penggunaan batu Kristal Swarovski dan loket pepatung yang digunakan untuk koleksi Lady Lofa Luxe.
“Buat julung kalinya, Naelofar Publika menyediakan perkhidmatan tempahan khas buat pengunjung yang inginkan memiliki koleksi Lady Lofa Luxe dengan berdasarkan rekaan pilihan mereka tersendiri.
“Mereka boleh memilih warna kegemaran hijab kegemaran mereka dan memilih sendiri batu Kristal Swarovski yang telah disediakan.
“Tempahan khas akan dibuat dengan serta-merta tetapi hanya terhad kepada 200 helai koleksi Lady Lofa Luxe,” katanya,
Neelofa turut mengumumkan berita baik untuk stokis Naelofar Hijab kerana bermula pada bulan April ini, pihaknya akan mengadakan jelajah dengan melawat butik stokis di seluruh negeri.
“Ini merupakan salah satu inisiatif pihak Naelofar Hijab demi mengeratkan hubungan di antara pihak pengurusan dan stokis,” katanya.
Nealofar Hijab yang dimiliki oleh NH Prima International Sdn. Bhd. adalah sebuah syarikat yang mengeluarkan pelbagai jenis produk seperti produk pakaian, kecantikan, kanta lekap, minyak wangi di bawah satu bumbung merangkumi pelbagai jenama seperti Naelofar Abaya, Naelofar Hijab, Lofalens, Tsya Beauty, Bellavita, Neelofa Perfume dan Hijab Spray.
Naelofar Hijab kini menjadi salah satu pengeluar tudung yang terkenal di Malaysia.
Ia merupakan salah satu jenama terbaik dalam pasaran ini hasil rekaan yang inovatif.
Kejayaan mereka dalam peringkat tempatan dan antarabangsa terbukti apabila pelbagai anugerah dimenangi mereka pada tahun lalu dan terbaru pada Januari lalu, apabila Neelofa menerima anugerah perniagaan SME&Entrepreneurship Award yang berlangsung di JW Marriot, Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette