KUALA LUMPUR – Presiden Pas yang juga Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak dapat hadir ke pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-13 hari ini kerana faktor kesihatan.
Perkara itu dimaklumkan oleh Naib Presiden Pas, Idris Ahmad semasa ditemui selepas majlis pembukaan dan memberi jaminan Hadi akan hadir ke mesyuarat esok.
“Dia tak hadir sebab tak berapa sihat sangat, insha-Allah esok dia akan hadir,” kata Idris kepada pemberita selepas menghadiri upacara pembukaan mesyuarat parlimen yang turut dihadiri Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai ketidakhadiran Hadi hari ini.
Selain itu, Idris yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang turut berharap agar rang undang-undang persendirian berkaitan pindaan Akta 355 dapat dibacakan dalam Dewan Rakyat kali ini.
“Kita harap ia akan dibentangkan. Itu kita harap. Kita harap juga kerajaan terutamanya, ada inisiatif dan keberanian supaya membenarkan RUU dibentangkan,” katanya.
Terdahulu sebelum sesi pembukaan hari ini, kecoh versi tanpa pindaan rang undang-undang dibawa Hadi dalam Peraturan Mesyuarat Parlimen.
Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, wujud kesilapan teknikal di sebalik versi tanpa pindaan rang undang-undang itu.
Pada November lalu, Hadi mencadangkan pindaan usul itu dengan menaikkan had hukuman penjara kepada 30 tahun, denda hingga RM100,000 dan maksimun 100 kali sebatan.
Hukuman syariah buat masa ini adalah hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun, denda hingga RM5,000 dan maksimun enam kali sebatan.
Rang undang-undang Hadi itu dipinda pada sesi Parlimen lalu selepas mesyuarat bersama dengan anggita parlimen BN yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Kerajaan merancang untuk mengambil alih rang undang-undang itu selepas bacaan kedua. – MalaysiaGazette