KUALA LUMPUR – Tindakan kerajaan menempatkan lebih banyak aset pertahanan di perairan timur Sabah dialu-alukan Yang Dipertuan Agong.
Sultan Muhammad V bertitah, fasiliti keselamatan seperti pangkalan operasi hadapan helikopter serta sea basing meningkatkan keselamatan di kawasan berkenaan.
“Kerjasama dan persefahaman yang telah dicapai dengan kerajaan Filipina berhubung kawalan keselamatan di Laut Sulu telah mengukuhkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara terutama dalam bidang keselamatan,” titah baginda.
Seri Paduka bertitah demikian semasa Istiadat Pembukaan Penggal Ke-5, Majlis Parlimen Ke-13 di Parlimen hari ini.
Mengenai kedudukan kewangan negara, Yang Dipertuan Agong bertitah, kerajaan komited meneruskan langkah konsolidasi fiskal bagi mencapai sasaran bajet berimbang pada tahun 2020.
“Justeru, kerajaan akan terus berusaha gigih untuk mengambil langkah-langkah konkrit bagi meningkatkan lagi saiz ekonomi daripada RM1.3 trilion pada masa ini kepada RM2 trilion dalam tempoh tujuh hingga lapan tahun akan datang,” titah baginda.
Seri Paduka juga menyeru semua pihak berganding bahu menghadapi cabaran dengan meningkatkan lagi produktiviti yang berterusan berasaskan kreativiti dan inovasi yang akan menjadi pemangkin merealisasikan pertumbuhan dan menjadikan negara kekal berdaya saing.
Yang Dipertuan Agong juga memuji langkah kerajaan meningkatkan prasarana pengangkutan awam terutama yang berasaskan rel seperti projek keretapi berkelajuan tinggi.
Seri Paduka juga menyambut baik visi Transformasi Nasional 2050 yang digagaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang merangkumi semua segmen masyarakat dan bakal menjadikan Malaysia sebagai negara berjaya.-MalaysiaGazette