Home Dunia Pencemaran punca kematian 1.7j kanak-kanak dunia

Pencemaran punca kematian 1.7j kanak-kanak dunia

Pencemaran udara dan air menjadi ancaman kepada kanak-kanak dunia. foto Agensi

LONDON – Satu perempat daripada semua kematian global melibatkan kanak-kanak di bawah lima tahun disebabkan oleh persekitaran yang tidak sihat atau tercemar.

Pencemaran itu melibatkan air dan udara yang kotor, asap rokok dan masalah kebersihan, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
A

“Persekitaran yang tercemar boleh membawa maut – terutamanya untuk kanak-kanak,” kata Ketua Pengarah WHO, Margaret Chan dalam satu kenyataan.

“Pembangunan organ-organ dan sistem imun dan badan yang lebih kecil dan saluran pernafasan, menjadikan mereka lebih terdedah kepada udara dan air kotor,” katanya.

Dalam laporan “Mewarisi dunia yang mampan: Atlas kesihatan kanak-kanak dan alam sekitar” – WHO berkata, pendedahan berbahaya boleh bermula dalam rahim dan kemudian berterusan jika bayi dan kanak-kanak terdedah kepada pencemaran udara dalaman dan luaran dan sebagai penghidap asap rokok.

Ini meningkatkan risiko radang paru-paru dan juga risiko penyakit pernafasan kronik seperti asthma.

Pencemaran udara juga meningkatkan risiko penyakit jantung, strok dan kanser sepanjang hayat, kata laporan itu.

Laporan itu juga menyatakan bahawa dalam isi rumah yang tidak mempunyai akses kepada air bersih dan sanitasi atau yang dicemari dengan asap daripada bahan api bersih seperti arang batu atau tahi untuk memasak dan pemanasan, kanak-kanaknya berisiko tinggi untuk cirit-birit dan pneumonia.

Kanak-kanak juga terdedah kepada bahan kimia berbahaya melalui makanan, air, udara dan produk di sekeliling mereka, katanya.

Maria Neira, seorang pakar WHO mengenai kesihatan awam berkata, masalah ini membebankan dari segi kematian dan penyakit serta penyakit jangka panjang.

Beliau menggesa kerajaan untuk melakukan lebih banyak usaha untuk pelaksanaan tempat selamat bagi kanak-kanak. – MalaysiaGazette