Yang DiPertuan Agong, Sultan Muhammad V membaca titah pada majlis pembukaan Sidang Parlimen Penggal ke-15 Parlimen ke-13 di Dewan Rakyat Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 6 MAC 2017.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dukacita kerana masih berlaku penyelewengan, ketirisan, rasuah dan pembocoran maklumat dalam kerajaan.

Ia termasuk dalam kalangan kakitangan awam dan bekas penjawat awam.

“Walaupun dilakukan oleh segelintir namun ia menghakis kepercayaan rakyat. Justeru, beta mengalu-alukan tindakan membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Ke-5, Majlis Parlimen Yang Ke-13 2017 di Parlimen hari ini.

Turut hadir ialah Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri S. A. Vigneswaran, Perdana Menteri, Datuk Seri Razak Najib dan ahli-ahli parlimen.

Selain itu, Yang Dipertuan Agong menyokong inisiatif yang dilaksanakan agar sebarang unsur penghinaan terhadap agama Islam dan institusinya di negara ini ditangani dengan kebijaksanaan dan ketegasan.

“Beta berharap langkah-langkah yang dilaksanakan dalam menangani penyebaran ajaran yang menyeleweng daripada Islam melalui media massa dan laman web terus dipertingkatkan termasuklah meneruskan pemerkasaan undang-undang pentadbiran agama Islam.

“Pada masa yang sama, kesepakatan pemimpin-pemimpin Islam utama di negara ini adalah suatu yang amat baik dan dialu-alukan sebagaimana dalam menangani isu Rohingya di Myanmar,” titah baginda.

Seri Paduka juga mengambil kesempatan melahirkan rasa sukacitanya dengan kunjungan Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke Malaysia baru-baru ini.

Baginda juga menaruh harapan besar melalui Pelan Perpaduan, Kesepaduan dan Penyatuan yang akan digubal berteraskan Perlembagaan dan Rukun Negara akan dapat menyatukan rakyat.

“Janganlah kita cepat berpuas hati dengan usaha-usaha memupuk perpaduan yang telah dilaksanakan.

“Adalah tidak salah untuk kita berbeza pendapat namun gunakanlah saluran yang betul secara berhemah serta tanpa perlu melibatkan pihak luar mencampuri urusan dalaman negara,” titah baginda.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast