KUALA LUMPUR – Tindakan Malaysia tidak mengambil langkah Dasar Kawalan Modal ketika berdepan krisis ekonomi berjaya menyelamatkan negara daripada bankrap, kata
Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Liang Teck Meng.
Teck Meng berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebenarnya boleh membuat langkah sama yang dibuat pada 1997-1998, namun tidak membuat keputusan itu kerana ia hanya akan menyebabkan pelabur hilang keyakinan kepada negara.
“Najib boleh mengambil pendekatan sama seperti yang diambil oleh Tun Dr Mahathir semasa krisis matawang dahulu, iaitu menjalankan tambatan ringgit kepada AS$1 pada paras RM3.80 dan memperkenalkan Dasar Kawalan Modal.
“Akan tetapi beliau tidak melakukannya, kerana Dasar Kawalan Modal akan memberi impak yang buruk dalam konteks jangka panjang.
“Pelabur asing yang membawa masuk sejumlah wang akan disekat dan tidak dibenarkan mengeluarkan wang tersebut dari negara kita secara keseluruhanya, ia hanya menyebabkan kehilangan keyakinan terhadap Malaysia,” kata Teng Meng semasa mencadangkan usul menjunjung kasih ke atas titah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad Ke Lima pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parliment Ketiga Belas di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Teng Meng, dalam usaha mengekalkan kestabilan ekonomi negara, langkah terbaik adalah terus menyakinkan pelabur asing untuk melabur.
Ini kerana salah satu intipati ekonomi yang sejahtera adalah keyakinan pelabur ke atas kestabilan Malaysia, maka ia akan dapat memberi yang terbaik kepada rakyat Malaysia.
“Untuk mengukuhkan balik nilai ringgit kita, yang pertama kita harus membuktikan kepada dunia bahawa kita tidak menjalankan dasar-dasar yang tidak popular seperti dasar kawalan modal.
“Kedua, mengurangkan defisit dalam bajet dan mencapai matlamat kita untuk bajet seimbang pada tahun 2020, ketiga mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang tinggi dan keempat, tiada sebarang sabotaj oleh mana-mana pihak,” katanya.
Dengan keempat-empat langkah yang diambil oleh Najib itu, negara berjaya keluar daripada krisis ekonomi seperti yang diwar-warkan pembangkang, tambah beliau. – MalaysiaGazette