“Ye ke. Mana dapat berita ini,” merupakan respons spontannya semasa dihubungi Bernama.
Wanita itu yang enggan identitinya didedahkan berkata beliau tidak tahu langsung tentang larangan yang dikuatkuasakan oleh Pyongyang pada Selasa.
Agensi-agensi berita antarabangsa telah menyiarkan berita berhubung larangan sementara itu. Dilaporkan ia berkuat kuasa sehingga “ketegangan” ketika ini diselesaikan.
Menurutnya Duta Besar Malaysia ke Korea Utara (Mohamad Nizan Mohamad) tidak berada di Pyongyang pada ketika ini kerana telah dipanggil pulang oleh kerajaan Malaysia pada bulan lepas.
Terdahulu, Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata 11 rakyat Malaysia di Pyongyang, selamat.
Duta Besar Korea Utara ke Malaysia Kang Chol diisytiharkan sebagai ‘Persona Non Grata’ oleh kerajaan Malaysia pada Sabtu dan diberi tempoh 48 jam untuk meninggalkan negara ini. Beliau meninggalkan Kuala Lumpur pada Isnin.
Sebagai langkah tindak balas, Pyongyang turut mengusir Duta Besar Malaysia ke Korea Utara itu pada Isnin dan memberikan tempoh yang sama iaitu 48 jam untuk berbuat demikian.
Kemudiannya pada Selasa Pyongyang mengumumkan larangan sementara terhadap rakyat Malaysia daripada meninggalkan Korea Utara dan Kuala Lumpur turut bertindak dengan turut mengenakan larangan sementara terhadap semua warga Korea Utara daripada meninggalkan Malaysia.
Kuala Lumpur mengusir Kang Chol susulan tindakannya mengeluarkan kenyataan menghina dan tidak berasas terhadap Malaysia serta tidak menghormati undang-undang negara ini.
Antara lain, Kang Chol mendakwa Kuala Lumpur bersekongkol dengan negara yang “memusuhi” Korea Utara, mempersoalkan penyiasatan polis terhadap kes pembunuhan Kim Chol dan mendakwa penyiasatan itu tidak boleh dipercayai.
Kim Chol, dilaporkan secara meluas sebagai Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Feb.
Dilaporkan Jong-nam sedang menunggu di klia2 untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila dua wanita tiba-tiba menyapu mukanya dengan cecair yang kemudiannya dikenal pasti sebagai agen saraf VX.
Jong-nam dilaporkan meminta bantuan di kaunter khidmat pelanggan di lapangan terbang itu dan segera dibawa ke Hospital Putrajaya tetapi meninggal dunia semasa dalam perjalanan.
— BERNAMA