SPRM

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memastikan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V ekoran kegiatan penyelewengan, ketirisan dan rasuah diperkuatkan di masa akan datang.

Menurut Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Dzulkifli Ahmad, sebagai satu-satunya penguatkuasa yang dipertanggungjawabkan untuk memerangi rasuah di negara ini, SPRM akan memastikan titah Seri Paduka terlaksana sepenuhnya.

Malah badan itu juga akan menjalankan tanggungjawab tersebut dengan menggunakan segala kemampuan yang ada dalam membendung gejala tidak sihat ini dari terus melular.

“SPRM juga akan terus melipatgandakan usaha-usahanya untuk memerangi penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa serta membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan seiring dengan titah dan kehendak Seri Paduka.

“Sehubungan dengan itu, SPRM amat berharap agar semua rakyat Malaysia, khususnya keseluruhan jentera kerajaan dapat bersama-sama, tanpa kompromi, berganding bahu bersama SPRM dalam menjunjung dan melaksanakan titah Seri Paduka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada sesi perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Sidang Dewan Rakyat pada Isnin, Baginda melahirkan rasa dukacita terhadap gejala rasuah dalam kalangan penjawat mahupun bekas penjawat awam.

Titah baginda, sekalipun dilakukan oleh segelintir penjawat awam namun ia dilihat menghakis kepercayaan rakyat.

“Beta mengalu-alukan tindakan membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan.

“Rakyat juga perlu memberi sokongan dengan tidak terlibat sebagai pemberi rasuah atau memiliki dokumen terperingkat tanpa kebenaran,” titah baginda di Parlimen pada Isnin.

Justeru itu, Dzulkifli berkata, SPRM menganggap titah Baginda sebagai satu cabaran malah akan berazam melaksanakan tugas dan tanggungjawab dalam memerangi rasuah dengan lebih komited dan efisien. -MalaysiaGazette.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast