Datuk Ong Kim Swee.

MELAKA – Bapa ketua jurulatih Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Bandar Hilir di sini hari ini.

Ong Chwee Gun, 74, meninggal dunia di hospital berkenaan kira-kira 12 tengah hari ketika mendapatkan rawatan selepas pitam di rumahnya. Mayatnya dibawa pulang ke rumah keluarganya di Taman Pandan Indah di sini sebelum disemadikan di Bukit Jelutong, Sungai Putat di sini pada Sabtu ini.

Mendiang Chwee Gun meninggalkan isteri Lee Wee Neo, 67, dan tiga anak serta empat cucu.

Kim Swee berkata, beliau menerima berita kematian bapanya ketika berada di Dubai semasa dalam perjalanan pulang ke Malaysia.

“Pemergiannya memang tidak disangka dan menyedihkan kerana setahu saya, ayah tidak menghidap sebarang penyakit kronik,” katanya kepada Bernama di rumah keluarganya di Taman Pandan Indah di sini, hari ini.

Menurutnya, beliau diberitahu kesihatan bapanya baik dan sempat mencuci kereta serta menyediakan makanan untuk anak dan cucunya.

“Tetapi, pada 4 petang (Isnin), beliau pitam dan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan tetapi didapati sudah tidak sedarkan diri dan menghembuskan nafas terakhir semalam,” katanya.

Kim Swee berkata, pemergian ayahnya adalah satu kehilangan besar buat dirinya kerana mendiang adalah pencetus inspirasi sepanjang membabitkan diri dalam industri berkenaan sejak berusia 13 tahun.

Beliau berkata, bapanya juga banyak memberi semangat dan sokongan kepadanya ketika mewakili sukan bola sepak di peringkat sekolah sehinggalah mencapai peringkat tertinggi dalam karier bola sepak negara.

“Bapa saya juga pernah aktif dalam sukan bola sepak namun tidak bermain untuk peringkat tinggi.

“Mendiang sering menemani saya membuat latihan di awal pagi sebelum ke sekolah menengah dan membawa saya menyaksikan perlawanan bola sepak ketika era kegemilangan Datuk Soh Chin Aun,” katanya.

Kim Swee berkata, beliau sebenarnya mempunyai baki sehari lagi dalam program sebulan bersama kelab Liga Kejuaraan Inggeris, Queen Park Rangers (QPR) di London dari 7 Feb hingga hari ini.

Walaupun bersedih dan terkesan dengan pemergian bapanya, beliau akan meneruskan tugas seperti biasa dan mempersiapkan skuad kebangsaan untuk aksi penting bertemu Filipina bagi perlawanan persahabatan di Manila pada 22 Mac depan.

Dalam pada itu, Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) mengucapkan takziah kepada Kim Swee di atas kematian bapanya semalam dan berharap beliau tabah dan kuat menghadapinya.

“MUSA sebagai sebahagian daripada keluarga bola sepak negara turut merasa sedih dan bersimpati dengan berita tersebut dan mengucapkan takziah kepada Kim Swee serta ahli keluarga,” kata timbalan presidennya Datuk Yusoff Mahadi ketika di hubungi Bernama hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast