ALOR SETAR – Parti Gerakan perlukan masa dan ruang untuk lebih memahami usul pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) yang dibawa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum memuktamadkan pendirian mengenai perkara itu.
Sambil menegaskan “partinya akan sentiasa menyokong apa juga perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan”, timbalan presidennya, Datuk Dr. Cheah Soon Hai berkata Gerakan berharap mendapat perincian itu semasa mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) bulan ini.
“Pada hujung bulan ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual mengadakan mesyuarat BN dan kita yakin agenda mengenai Akta 355 turut akan dibincangkan,” katanya selepas merasmikan penutupan program Hari Wanita Sedunia peringkat negeri Kedah, hari ini.
Usul pindaan Akta 355 itu dibuat oleh Hadi di Dewan Rakyat pada 24 November lepas bertujuan memperkasakan mahkamah syariah dalam melaksanakan hukuman jenayah.
Rang undang-undang (RUU) itu yang dibawa beliau sebagai RUU Persendirian dan kemudian digelar RUU 355 mencetuskan polemik dalam kalangan parti komponen BN selepas UMNO membayangkan sokongan terhadap pindaan tersebut. – MalaysiaGazette.