Penganalisis akhbar Cina, Datuk Cheah See Kian bagaimanapun percaya pilihan raya akan diadakan pada tahun ini, tetapi bergantung kepada keadaan di Sabah dan Sarawak.
PULAU PINANG – Walaupun ramai pihak menjangkakan bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 diadakan pada tahun ini, tetapi ada juga yang percaya 2018 akan menjadi pilihan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Jabatan Analisis Politik dan Sosial Institut Pulau Pinang, Wong Chin Huat berkata, pilihan raya umum tidak sempat untuk diadakan pada tahun ini kerana Barisan Nasional (BN) ‘tersekat’ dengan persempadanan semula di Selangor yang dibawa ke mahkamah.

“Pilihan raya tidak akan dijalankan sebelum September kerana sukar untuk usul persempadanan semula dikemukakan ke Parlimen sebelum Julai,” katanya kepada Kwong Wah Daily.

Chin Huat juga percaya bulan selepas September pada tahun ini bukan masa yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya.

Naib Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong juga percaya pilihan raya mungkin dianjak sehingga tahun depan tetapi beliau memetik faktor yang berlainan dengan Chin Huat.

Katanya, pilihan raya tidak sesuai diadakan pada tahun ini kerana isu ekonomi seperti kelemahan ringgit, kenaikan harga minyak dan peningkatan harga barangan.

Menurutnya, Gerakan Pulau Pinang bagaimanapun bersedia menghadapi pilihan raya tidak kira ia diadakan tahun ini atau tahun depan.

Bertentangan dengan Chin Huat dan Tong Keong, penganalisis akhbar Cina, Datuk Cheah See Kian bagaimanapun percaya pilihan raya akan diadakan pada tahun ini, tetapi bergantung kepada keadaan di Sabah dan Sarawak.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengadakan lawatan ke dua negeri tersebut untuk meninjau kesediaan untuk mengadakan pilihan raya.

“Jika Sabah dan Sarawak stabil, maka Perdana Menteri tiada alasan untuk menganjak pilihan raya.

“Melewatkan pilihan raya bukan sesuatu yang menguntungkan BN,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast