Dr. Mahathir Mohamad

PUTRAJAYA – Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini melahirkan kebimbangan berhubung langkah Kerajaan Persekutuan dalam menangani krisis diplomatik dengan Korea Utara.

Bekas perdana menteri itu mendakwa apa yang dilakukan Malaysia ketika ini telah menyebabkan ketegangan yang membimbangkan rakyat.

“Ini satu peristiwa yang tidak pernah di alami oleh Malaysia sebab itu kita tidak begitu cekap dalam menanganinya sehingga timbul ketegangan antara kita dengan Korea Utara.

“Saya fikir ini jadi satu pengajaran kepada kita, iktibar tangani masalah ini pada masa depan,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan filem pendek bertajuk `Sikap’ di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini.

Hubungan Malaysia dan Korea Utara kini tegang berikutan kes pembunuhan abang tiri pemimpin negara berkenaan, Kim Jong-nam pada 13 Februari lepas hingga menjejaskan hubungan diplomatik yang telah terjalin sejak 1973.

Malaysia dan Korea Utara telah menghantar pulang kedua-dua dutanya, dan minggu ini kedua-dua kerajaan berkeras apabila menyekat beberapa lagi pegawai dan kakitangan kedutaan untuk pulang ke tanah air.

Dalam perkembangan sama, Dr Mahathir berkata, Malaysia tidak perlu menjadikan Korea Utara sebagai musuh.

Katanya, Malaysia perlu menangani krisis tersebut dengan lebih bijak dan menjadikannya satu pengajaran pada masa akan datang.

“Banyak misteri dalam kes ini, siapa yang berniat untuk membunuh, apa dia hasil daripadanya dan macam mana boleh berlaku.

“Kerana negara kita ini dipenuhi dengan ramai orang asing dan mereka bawa perkara yang tidak baik kepada kita. Sebab itu sementara kita perlu berterus terang, kita mesti tentukan fakta itu betul apabila kita buat sesuatu kenyataan,” ujarnya.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Dr Mahathir berkata, Malaysia perlu ikut dasar dahulu dengan memilih berkecuali dan tidak terikat dengan mana-mana negara.

Malaysia perlu bersahabat dengan semua negara tanpa mengambil kira dasar atau ideologi mereka.

“Sekarang ini ada perbezaan dasar sedikit, kita sudah mendekatkan diri kita dengan satu negara lain. Ini kurangkan kebebasan kita,” katanya tanpa menjelaskan lebih lanjut dakwaannya itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast