Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak menyarankan seluruh rakyat termasuk pemimpin kerajaan dan pembangkang memberi sokongan penuh terhadap segala usaha membawa pulang rakyat Malaysia yang dilarang meninggalkan Korea Utara.

Perdana menteri berkata kekuatan sesebuah negara boleh diukur dengan melihat kepada kebersatuan rakyat ketika menghadapi krisis atau ancaman dari luar.

“Sekiranya kita bersatu-padu ketika menghadapi sebarang masalah atau ancaman, musuh dari luar tidak akan mampu meruntuhkan segala yang kita bina selama ini,” katanya menerusi entri terbaru blog najibrazak.com.

Beliau berkata ini bukan pertama kali Malaysia menghadapi saat getir membabitkan hubungan luar negara, krisis seperti MH370, MH17 dan Lahad Datu telah membuktikan bahawa Malaysia berpengalaman dalam menangani isu berkaitan kuasa asing yang rumit.

“Insya-Allah, kita diberi hidayah dan petunjuk oleh Allah yang Maha Kuasa sekali lagi untuk mengembalikan rakyat Malaysia di Korea Utara dengan selamat dan merungkai segala persoalan mengenai pembunuhan yang berlaku di tanah air kita ini,” katanya.

Najib berkata Malaysia sentiasa menjaga hubungan baik dengan semua negara.

“Bagaimanapun, ini tidak bermakna sesiapa dari kalangan mereka boleh menyalahgunakan segala layanan baik yang Malaysia telah berikan selama ini dan melanggar undang-undang negara kita atau melakukan sesuka hati mereka tanpa menghormati Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat,” katanya.

Sebelas rakyat Malaysia dilaporkan berada di Korea Utara ketika Pyongyang pada 7 Mac mengumumkan larangan bagi rakyat negara ini meninggalkan negara itu.

Namun, semalam Najib mengumumkan dua daripada mereka iaitu petugas Pertubuhan Bangsa Bersatu telah dibenarkan keluar dari Korea Utara dan kini berada ke Beijing.

Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara tegang berikutan pembunuhan Kim Chol, atau dilaporkan media sebagai Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada 13 Feb lepas.

Duta Besar Korea Utara di Malaysia Kang Chol diusir dari negara ini pada 6 Mac lalu selepas dilaporkan membuat kenyataan tidak berasas dan menghina Malaysia berhubung siasatan kes pembunuhan Jong-nam.

Sehari kemudian, Korea Utara mengumumkan tindakan mengusir Duta Besar Malaysia di negara itu, Mohamad Nizan Mohamad selain menghalang rakyat Malaysia daripada meninggalkan negara berkenaan.-MalaysiaGazette



IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast