Annuar Musa

KUALA LUMPUR- Rakyat dinasihat agar tidak mempertaruhkan masa depan negara hanya kerana bersimpati terhadap mana-mana individu.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata soal individu itu adalah sangat kecil berbanding nasib keseluruhan bangsa, agama dan negara.

“Masa depan negara yang di tangan kita semua adalah lebih penting. UMNO telah berjuang untuk rakyat dan pemimpin ini perlu sedar tidak ada gunanya bagi dia pula mempertaruhkan masa depan negara untuk hanya kepentingan diri.

“Apa yang kita buat ini adalah fardu kifayah kerana mempertahankan kerajaan yang telah mengangkat martabat bangsa, agama dan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Ceramah Isu-isu Semasa di Padang Sera di Jerlun, Kedah malam tadi.

Annuar berkata, tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang cuba mengganggu gugat keharmonian negara adalah sesuatu yang sukar diterima rakyat.

“Semasa Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri sokongan rakyat tidak berbelah bahagi termasuk saya tetapi cukuplah dan berilah ruang kepada Datuk Seri Najib (Tun Razak) untuk terus mentadbir negara dan meneruskan kesinambungankeharmonian melalui parti keramat UMNO ini,” katanya.

Beliau berkata, parti telah banyak menerima ujian, namun ia tetap kukuh bertahan memayungi bangsa, agama dan negara.

Sehubungan itu, beliau berharap Dr Mahathir akan kembali sedar terhadap perjuangannya bersama pembangkang dan kembali bersama parti yang perna didokongnya.

“Saya tahu hati kecilnya masih sayangkan UMNO dan berdoalah mereka kembali ke dalam parti keramat ini,” katanya.

Beliau juga berharap UMNO dan Pas akan dapat menemui titik pertemuan untuk menjalin kerjasama demi bangsa dan agama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast