Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

MUAR – Ketegangan hubungan antara Malaysia dan Korea Utara ketika ini tidak akan mencetuskan peperangan, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Malah, kata Hishammuddin, setakat ini pihaknya belum menerima laporan yang mencemaskan berhubung ketegangan itu.

“Sebagai Menteri Pertahanan sepatutnya saya yang akan tahu terlebih dahulu, namun setakat ini, belum mendapat laporan yang mencemaskan antara kita dan Korea Utara.

“Saya tidak nafikan setakat hari ini memang (hubungan) tegang tetapi tidaklah sampai ke tahap hendak berperang,” katanya selepas merasmikan Persidangan Kelompok UMNO Bahagian Muar dan Penyerahan Kit Pilihan Raya Umum (PRU)-14 hari ini.

Hishammuddin berkata, ketegangan itu juga tidaklah seteruk keadaan geopolitik yang sedang dialami Korea Utara dengan dua negara iaitu Amerika Syarikat dan Korea Selatan, lapor Bernama.

“Oleh itu, saya berharap hal ini tidak dibicarakan di khalayak ramai kerana mungkin boleh menjejaskan rundingan diplomatik yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu termasuk Wisma Putra,” katanya.

Hishammuddin memberitahu, kabinet semalam turut dimaklumkan bahawa dua perkara yang menjadi keutamaan kerajaan ketika ini dalam menyelesaikan isu itu ialah memastikan keselamatan warga Malaysia di Korea Utara.

Selain itu, proses siasatan diharap dapat dirasai kedua-dua belah pihak dan dilihat dengan lebih telus, katanya.

Hubungan Malaysia dan Korea Selatan yang dilaporkan mesra sebelum ini, menjadi tegang berikutan kematian Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin negara itu, Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) pada 13 Februari lalu.

Kematian Jong-nam itu kemudian disahkan kerana diracun dua wanita menggunakan agen saraf VX yang ditekup pada muka mangsa. – MalaysiaGazette.