Ab. Aziz Kaprawi

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin diminta supaya tidak berburuk sangka dalam krisis hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Korea Utara.

Sebaliknya, beliau harus menyokong usaha kerajaan untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ab Aziz Kaprawi.

Dalam satu kenyataan Ab Aziz berkata, kenyataan Muhyiddin kelmarin menyatakan ada pihak yang mendapat manfaat politik melalui krisis itu adalah berniat jahat.

Menurutnya, pada ketika ini setiap daripada rakyat Malaysia tanpa mengira pegangan politik harus bersatu dan memberikan sokongan padu terhadap usaha kerajaan menyelesaikan krisis berkenaan.

“Saya minta semua pihak termasuk Muhyiddin janganlah berburuk sangka sehingga sanggup menyatakan ada pihak di negara ini yang boleh mendapat dividen politik menerusi krisis berkenaan.

“Janganlah berpolitik mengenai isu yang membabitkan keselamatan rakyat kita sendiri sedangkan kerajaan sedang berusaha keras memastikan baki sembilan rakyat negara kita yang terkandas di Korea Utara dapat pulang dengan selamat.

“Negara luar termasuk Amerika Syarikat dan Singapura pun memberikan pujian dan sokongan kepada negara kita terutamanya bagaimana kerajaan mengendalikan krisis ini, ” katanya.

Kelmarin, Muhyiddin dalam satu sidang media dilapor meminta tiada pihak menggunakan perbalahan diplomatik itu sebagai mainan politik bagi memenuhi agenda politik mereka. – MalaysiaGazette