Noh Omar.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar membuat satu dasar dalam pendidikan sekolah menengah dan rendah di kawasan berkenaan.

Dasar itu ialah memastikan setiap sekolah mempunyai prasarana yang baik, selain pengurusan sempurna dalam memberi pendidikan kepada murid serta pelajar.

Menurut beliau, untuk pembangunan bagi sekolah rendah, beliau memperuntukan kira-kira RM50,000.

“Begitu juga bagi sekolah menengah, saya peruntukan RM100,000 untuk prasarana.

“Peruntukan ini hanya khusus untuk sekolah dalam kawasan Parlimen Tanjung Karang kerana saya sebagai Ahli Parlimen di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kali Kedua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Sawah Sempadan di Tanjung Karang, semalam.

Menurut beliau, sumbangan itu adalah untuk membantu pembelajaran anak-anak dalam parlimen itu.

Bagi PIBG pula, kata Noh, setiap daripada persatuan itu, juga dalam Parlimen Tanjung Karang akan diberikan peruntukan minimum antara RM10,000 hingga RM20,000 untuk pengurusan.

Jumlah itu, ujar beliau, adalah mengikut jumlah kehadiran ibu bapa setiap kali PIBG mengadakan mesyuarat.

“Sebagai wakil rakyat kawasan ini, saya sentiasa menitikberatkan soal pendidikan. Saya mahu anak-anak kelahiran Tanjung Karang menjadi orang berguna. Bekerja dengan gaji besar dan menjadi pemimpin,” katanya. – MalaysiaGazette