Lelaki terbabit menukar pakaian lokap kepada pakaian preman miliknya.

SEREMBAN – Tahanan yang melarikan diri dari lokap Kompleks Mahkamah di sini, semalam, dipercayai telah menukar pakaian lokap kepada pakaian preman miliknya, sebelum melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Thiew Hock Poh berkata, dalam kejadian kira-kira 2.40 petang itu, suspek lelaki berusia 29 tahun dikenali sebagai P. Devaraajan melarikan diri ketika anggota polis pengiring menguruskan beberapa tahanan lain untuk dibawa keluar.

“Suspek pada awalnya telah dimasukkan sementara bersama beberapa lagi tahanan yang lain dalam satu sel yang sama. Apabila anggota polis pengiring menguruskan beberapa tahanan lain untuk dibawa keluar dari sel bagi tujuan prosiding mahkamah, suspek telah ditinggalkan dalam sel berkenaan.

“Siasatan polis mendapati suspek telah menukar pakaian lokap kepada pakaian preman miliknya yang terletak berhampiran sel dan meninggalkan pakaian lokap dalam sebuah beg bungkusan, kemudian suspek berjaya melarikan diri,” katanya
dalam kenyataan di sini, hari ini.

Thiew berkata, siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti bagaimana suspek yang ditahan reman atas kesalahan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan itu, boleh meloloskan diri daripada tahanan polis ketika di mahkamah.

“Pihak polis sedang giat mencari suspek dan memohon agar orang awam menyalurkan maklumat kepada balai polis berdekatan sekiranya terjumpa suspek ini.

“Siasatan telah dibuka terhadap kes ini dibawah Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melarikan diri dari tahanan serta kecuaian mengakibatkan tahanan melarikan diri.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast