Tidak banyak filem tempatan yang mengetengahkan isu perguruan dan pendidikan di Malaysia.

Kalau ada pun antaranya Baginda arahan Aziz M Osman pada tahun 1997.

Dalam filem lakonan Azean Irdawaty, Jalil Hamid, Benjy dan Datuk Chef Wan itu, filem berkenaan berkisar semangat seorang guru besar untuk memulihkan sebuah sekolah swasta yang kehilangan motivasi.

Selebihnya filem Mira Edora (1990) dan Bicara Hati (2004), namun filem berkenaan hanya mengupas tentang rasa cinta antara guru dan pelajar.

Jika di negara seberang, filem Laskar Pelangi (2008) mengangkat kisah perjuangan pelajar untuk mengubah nasib dirinya dan sekolahnya sendiri.

Mengisi kekosongan itu, SOL Pictures Sdn Bhd menerbitkan sebuah filem dengan judul Adiwiraku.

Bermula dengan kisah kegigihan seorang guru yang mahu membimbing pelajar sekolahnya memenangi choral speaking sehingga menjadi tular di internet tahun lalu, Jason Chong selaku penerbit eksekutif nekad mengangkat semangat guru ini ke layar perak.

Jika anda sudah membaca kisah ini di internet, mungkin sinopsisnya sudah berlegar-legar di fikiran anda.

Namun apa yang perlu anda tonton dan kagumi adalah permainan lakon layar Adiwiraku yang membuatkan anda kagum dengan semangat guru yang bernama Cheryl Ann Fernando.

Cheryl merupakan graduan universiti yang memilih untuk menjadi guru bahasa Inggeris untuk program Teach For Malaysia.

Dia memilih untuk menjadi guru di Sekolah Pinang Tunggal, Sungai Petani, Kedah.

Pada awalnya, susah untuk dia mengajar kerana pelajar di sana sukar menguasai bahasa inggeris.

Pelbagai teknik digunakan cikgu Cheryl untuk membuatkan pelajar berasa seronok dengan pembelajaran.

Seterusnya cikgu Cheryl mendapat jemputan menyertai choral speaking.

Kesukaran dan kegembiraan dia membimbing pasukan itu selama tiga bulan akhirnya membuahkan hasil, apabila sekolah itu sebelum ini tidak pernah mendapat apa-apa kedudukan mendapat tempat kelima.

Selain merasai kagum dengan semangat cikgu sementara ini, penonton akan kagum dengan pemilihan kisah yang dipaparkan dalam Adiwiraku ini.

Rasa sedih, sayu, gembira dan kagum menyelubungi filem ini dengan baik.

Malahan, percaya atau tidak hampir semua pelakon yang membintangi filem ini memegang watak sendiri.

SOL Pictures telah menjalani pengambaran di sekolah sebenar dan menjemput para pelajar untuk berlakon memegang watak masing-masing.

Namun ada beberapa pelajar dilakonkan pelakon lain termasuk watak cikgu Cheryl yang dibawa Sangeeta Krishnasamy.

Meskipun mereka tidak pernah berlakon, namun penonton akan dapat lihat bagaimana mereka berjaya menghidupkan watak masing-masing, jauh meninggalkan kehebatan pelakon drama siaran petang sebuah televisyen swasta.

Pendek kata filem Adiwiraku ini cukup rencahnya. Tidak rugi untuk anda tonton.

Namun selaku penerbit, mereka mungkin dari awal lagi sudah mengetahui filem ini mungkin akan gagal dari segi kutipan kerana aspek komersil tidak menjadi tunjang utama.

Adiwiraku mula berada di pawagam 9 Mac 2017. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast