Tun Arifin Zakaria

PUTRAJAYA – Tun Arifin Zakaria memberi keutamaan paling tinggi dalam memulihkan semula keyakinan masyarakat terhadap badan kehakiman apabila beliau memegang jawatan Ketua Hakim Negara ke-13 pada 2011.

Bakal bersara pada hujung bulan ini, keutamaan beliau itu tidak berubah.

Dalam wawancara di pejabatnya di sini, beliau mengimbas semula krisis perlembagaan pada 1988 yang meninggalkan kesan amat mendalam, apabila krisis itu berakhir dengan penyingkiran Tun Salleh Abas sebagai Ketua Hakim Negara.

“Banyak yang berpendapat keyakinan umum terhadap badan kehakiman berada di tahap paling rendah susulan krisis itu, dan masih ada mereka yang bertegas bahawa tahap itu tetap rendah,” kata Arifin.

“Tetapi bagi saya, keadaan semakin bertambah baik sejak tahun-tahun kebelakangan ini di bawah pendahulu saya,” katanya, dan menyebut secara khusus, Tun Zaki Azmi dan Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah.

“Namun, saya mahu membawa badan kehakiman ke peringkat lebih tinggi untuk memulihkan sepenuhnya keyakinan masyarakat,” katanya.

Arifin percaya bahawa sebuah badan kehakiman yang bebas adalah penting bagi demokrasi, dan keyakinan masyarakat juga perlu bagi sistem keadilan yang berkesan.

“Sebagai hakim, menjadi tugas kami untuk melaksanakan keadilan dengan sebaik-baiknya, dan sebagai ketua hakim negara, matlamat utama saya adalah untuk mengembalikan semula keyakinan masyarakat terhadap badan kehakiman,” katanya.

Beliau menolak dakwaan bahawa keyakinan masyarakat terhadap badan kehakiman tersangat rendah.

“Orang masih datang ke mahkamah untuk menyelesaikan pertikaian… mereka yang mengkritik mahkamah sebagai tidak adil, tidak saksama, berat sebelah.. orang seperti inilah yang datang ke mahkamah.

“Pembangkang membawa banyak kes ke mahkamah untuk menentang kerajaan. Jika mereka tiada keyakinan terhadap badan kehakiman, saya pasti mereka tidak akan datang ke mahkamah,” kata Arifin.

Arifin menyertai perkhidmatan awam sebagai pegawai undang-undang di Jabatan Perdana Menteri kira-kira 42 tahun yang lalu sebelum menjadi majistret pada 1976.

Beliau merupakan Penasihat Undang-undang Negeri Perak pada 1988 dan kemudian menjadi Pesuruhjaya Kehakiman pada 1992 dan Hakim Mahkamah Tinggi pada 1994. Beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 2002, Hakim Mahkamah Persekutuan pada 2005 dan Hakim Besar Malaya pada 2008.

Ditanya tentang kenangan paling indah dalam kerjayanya, Arifin, yang mencecah usia 67 tahun pada Oktober ini, sekadar berkata: “Saya suka mendengar kes dan menulis penghakiman.”

“Apabila saya menulis penghakiman, saya lakukannya dengan sepenuh jiwa raga. Apabila anda mendengar sesuatu kes, lebih-lebih lagi kes yang rumit, dan anda kemukakan penghakiman yang pada anda adalah penghakiman terbaik yang telah anda tulis, anda akan rasa amat puas hati.

“Paling manis adalah apabila anda benar-benar yakin bahawa anda telah berlaku adil terhadap sesuatu kes,” katanya.

Arifin, yang berasal dari Kelantan, ketawa kecil apabila diminta menggambarkan tentang dirinya sendiri. “Saya agak terbuka kepada media dan masyarakat serta agak mudah didekati,” katanya.

“Ia penting bagi kami (hakim) untuk mendampingi masyarakat menerusi media supaya kami boleh memperjelaskan perkara berkaitan badan kehakiman dan tentang fungsi kami. Lagipun, tiada apa untuk saya sembunyikan.”

Satu daripada pencapaian yang membanggakan Arifin adalah penyelesaian 12,000 kes tertunggak di Mahkamah Rayuan kepada 3,000 kes dalam tempoh dua tahun.

“Sekarang, kami hanya mengendalikan kes semasa,” katanya.

Beliau turut memperkenalkan peraturan mahkamah yang baharu bagi mahkamah rendah dan mahkamah tinggi yang menggabungkan serta memudahkan peraturan berasingan bagi kedua-dua mahkamah itu selain memperkemaskan prosedur.

Arifin turut memperkenalkan banyak mahkamah khas, termasuk yang mengendalikan kes komersial, rasuah dan siber.

Beliau juga aktif di peringkat antarabangsa, terutamanya dalam perkara yang memberi kesan kepada negara anggota ASEAN.

Beliau menganggotai Persatuan Undang-undang ASEAN dan Majlis Ketua-Ketua Hakim Negara ASEAN yang mengendalikan isu seperti amalan bersama serta penguatkuasaan perintah.

“Sebagai contoh, kami cuba memperkemaskan perintah dalam negara ASEAN supaya perintah mahkamah di Malaysia boleh dikuatkuasakan di Thailand atau Laos. Di Singapura dan Brunei kami boleh (melakukannya) disebabkan kita berkongsi latar belakang Komanwel,” kata Arifin.

Mengenai perancangannya selepas bersara, Arifin, yang gemar bermain golf dan berkebun, berkata beliau akan bercuti bersama-sama keluarga sebelum membuat sebarang keputusan.

“Jika kesihatan saya mengizinkan, saya akan terus berkhidmat kepada negara dalam apa jua kapasiti yang ada, dan sudah tentulah, minat saya sentiasa dalam undang-undang,” katanya.

Ditanya tentang calon yang akan mengambil alih daripada beliau, Arifin berkata: “Siapa pun yang dipilih, beliau sudah tentu seorang yang layak dan sesuai untuk menjadi pengganti saya dan saya berkeyakinan penuh terhadapnya.”

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast