Jamal Md. Yunos

KUALA LUMPUR – Walaupun diugut dengan tindakan saman Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok, ia tidak akan menggentarkan Datuk Seri Jamal Md Yunos untuk terus mendedahkan banyak lagi salahguna membabitkan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS).

Pengerusi Gabungan NGO itu sebaliknya berkata memiliki enam lagi pendedahan yang bakal dibuatnya melibatkan salahguna agensi tersebut.

“Saya mengalu-alukan Teresa Kok untuk mempercepatkan saman saya kerana saya sudah tidak sabar menunggu saman beliau supaya apa saya dedahkan ini diketahui rakyat, dan jika ia berjaya untuk dibicarakan di mahkamah, kita akan lihat bagaimana penyelewengan yang berlaku di dana YAWAS.

“Saya sedikit pun tak gentar dengan ugutan, malah saya suruh percepatkan supaya Teresa Kok saman saya, sebab saya ada maklumat tentang apa yang saya katakan, saya bertangunggungjawab sepenuhnya, saya yakin dan percaya ada banyak masalah ketirisan dan sebagainya menguruskan dana yang sebegitu banyak, ada tujuh program kesemuanya.

“Saya baru bongkar satu daripadanya, ada enam lagi yang saya akan dedahkan dalam masa terdekat ini,” kata Jamal dipetik berkata kepada portal BNBBC hari ini.

Terdahulu, Teresa dilapor mengancam untuk menyaman Jamal dan media yang membuat laporan berhubung tuduhan beliau menyalahguna dana itu untuk rakyat di kawasan Parlimennya.

Jamal sebelum ini mendakwa Teresa berbohong serta hipokrit kerana tidak mengaku telah menggunakan wang hampir RM2 juta sejak 2016 sehingga 24 Februari 2017.

Menurut Jamal, wang tersebut dikeluarkan melalui kad ATM Ambank atas nama Teresa sendiri.

“Beliau merupakan wakil rakyat pembohong, tak boleh dipercayai dan seorang yang hipokrit. Tuntutan dana yang perlu diberi pada setiap waris adalah sebanyak RM2,500, tapi kebanyakan daripada mereka hanya baru terima RM1,000 sahaja.

“Dia telah menggunakan dana YAWAS sebanyak RM2 juta yang dikeluarkan menggunakan kad ATM Ambank atas namanya sendiri,” dakwa Jamal dalam pendedahannya sebelum ini.

Dalam pada itu, Jamal turut mengingatkan Teresa supaya tidak mengugut mana-mana media yang melaporkan berita mengenai YAWAS kerana ia adalah tugas media untuk melaporkan berita. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast